BismiLlahirRahmanirRahim~

Thursday 5 June 2014

Semuanya Soal Hati : Hati Emas~

BismiLlahirRahmanirRahim~

Sabda Rasulullah SAW : 
"Allah tidak memandang rupa lahir kamu dan harta kamu tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu." (Riwayat Muslim dan Ahmad)

RasuluLlah SAW menganjurkan kita berdoa : "Ya Allah, sempurnakan akhlakku sepertimana Engkau sempurnakan kejadianku." Secara tidak langsung, doa ini mengajar kita bahawa nilai akhlak jauh lebih penting daripada rupa lahir kita.

Allah Yang Maha Adil tidak meletakkan kebahagiaan kepada rupa, harta, kuasa dan nama. Allah tidak zalim kerana meletakkan kebahagiaan pada ketenangan "hati emas" - hati yang mampu dimiliki oleh si miskin atau si kaya, si buruk atau si jelita dan hamba atau raja.

Di mana akan kita temui hati emas seperti itu? Hati itu ditempa dan disesah oleh mujahadah di jalan Allah. Umpama intan yang dipanaskan oleh haba dengan kepanasan berganda atau emas yang disepuh oleh api yang menyala-nyala, maka begitulah hati manusia. Hanya akan bercahaya oleh siraman keringat, deraian air mata dan aliran darah oleh insan yang bermujahadah di jalan-Nya.



Apabila tiba saat diuji, jangan lari tetapi hadapi. Walau pedih, sedih dan tersisih, jangan mengelak. Bersedia dan hadapi. Terima hakikat, jika hidup sudah terhenyak ke dasar paling bawah, jangan berpura-pura lagi. Jangan terus bermuka-muka. Namun, terimalah hakikat supaya mampu bangun kembali dengan cepat! Sering dikatakan oleh ahli kebijaksanaan, "Jangan dipinta diringankan ujian, tetapi pintalah dikuatkan hati untuk menghadapinya!"

Apabila sudah tiba di dasar yang paling bawah, sudah tentu tidak ada lagi tempat untuk jatuh. Maka ketika itulah peribadi akan naik semula ke atas kerana kita sudah membayar "yuran" untuk kejayaan. Kita sudah merasai kepahitan pada ubat yang ditelan. Itulah ubat hati, yang pahit pedih dan menyakitkan tetapi itulah ubat dan penawar yang akan melegakan.

Saat diuji itulah segala mazmumah akan dimamah. Ego, bangga, rendah diri, kecil hati, kecut, penakut sudah "dibakar" dalam relau mehnah Allah. Dan saat itulah kita layak menerima anugerah. Yakni, bingkisan ijazah daripada "universiti mujahadah". Tiada gelaran, tiada sanjungan ... hadiahnya hanya - HATI EMAS!


Memburu selain-Nya hanya akan mengecewakan. Pergilah setinggi puncak karier, rebutlah setinggi nama, carilah sebanyak harta, tanpa hati emas, kau hanya akan meninggikan tempat jatuh. "Berjaya" tanpa keperibadian yang kukuh hanya mendedahkan diri kepada lebih banyak stres dan kebosanan. Tidak ada jalan dan ikhtiar lagi kecuali kembali kepada Allah. Perkukuhkan solat lima waktu dengan sunat rawatib. Luangkan dan lapangkan masa dengan membaca al-Quran dan berselawat. Kurangkan makan dan lisan. Bercakap hanya yang baik atau diam.

Uzlahkan diri jika terasa mata dan telinga terlalu liar untuk ditundukkan. Tersenyumlah dengan penghinaan. Redhalah dengan kesepian. Jangan takut akan kelicikan, tipu daya dan kezaliman. Hayatilah sebuah sabda, "Jika kita menjaga Allah, Allah akan menjaga kita". Tidak mengapa jika dipinggirkan, malah dilupakan sekalipun ... kerana selamanya orang lain tidak akan tahu, betapa lapang dan bahagianya apabila memiliki hati emas itu!



Semoga  saya menulis segala-galanya dari hati, dan semoga segala-galanya itu juga tertumpah ke dalam hati para pembaca. Saya bukanlah insan yang baik, tetapi insyaAllah sedang berusaha ke arah itu dengan cuba menabur sebanyak-banyak kebaikan melalui tulisan. InsyaAllah, semoga Allah mengurniakan taufik dan hidayah-Nya agar kita sentiasa berhati-hati menjaga hati termasuk semasa membaca buku "Semuanya Soal Hati" ini. Amin.. :)

|Pahrol Mohamad Juoi|


Jaga Hati. Jaga Iman. Jaga Diri. 

Fii HifziLlah <3

Moga kita semua senantiasa berada dalam pelukan kasih sayang Allah, Yang Maha Penyayang~ 

Wallahua'lam. Salam Mahabbah :)

No comments: