BismiLlahirRahmanirRahim~

Showing posts with label bEdAhBuKu. Show all posts
Showing posts with label bEdAhBuKu. Show all posts

Friday, 24 October 2014

HIJRAH : Menelusuri Kehidupan


BismiLlahirRahmanirRahim~

1435 Hijrah bakal melabuhkan tirainya pabila terbenamnya matahari pada petang ini. Mari kita sama-sama menghisab diri akan segala amalan yang telah kita lakukan, sama ada baik atau buruk. Moga Allah menerima segala amal yang kita tunaikan liLlahi ta’ala dan juga DIA ampuni segala kekhilafan kita sama ada kita sengaja ataupun tidak. NastaghfiruLlahal’azim~



HIJRAH.
Mendalam ertinya. Menelusuri sejarah, RasuluLlah, para sahabat dan para muslimin Makkah al-Mukarramah berhijrah ke Madinah al-Munawwarah pada 622 Masihi. Tujuannya ialah menyelamatkan aqidah, meluaskan medan dakwah dan membangunkan pemerintahan berteraskan tauhid kepada Allah.

Begitu juga kita. Hijrah hati dan akhlak, menjadi yang lebih baik daripada sebelum  ini. Moga tahun baru hijrah ini, kita sama-sama perbaharui azam kita dan tingkatkan usaha kita mencari keredhaan Allah Azza Wajalla. Jadikan RasuluLlah s.a.w sebagai qudwah hasanah dalam segenap amalan kita agar perjalanan hidup kita di muka bumi yang sementara ini berada di jalan yang lurus. Bi idzniLlah.



HIDUP.
“Hidup di dunia ini penting kerana adanya akhirat.
Jadi, kita mesti memanfaatkan kehidupan di dunia
sebagai jambatan kebahagiaan di akhirat.”

“Usah dipinta hidup yang mudah,
tapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya~!!”


DUNIA.
Dunia ini ialah tempat ujian, manusia akan terus diuji dalam setiap pergerakan apatah dalam hal rezeki. Terdapat sebuah hadis sahih yang memberi tip untuk mendapatkan iman yang sempurna :
“Ada tiga perkara yang sesiapa dapat mengumpulkan ketiga-tiga hal itu dalam dirinya,
maka dia telah dapat mengumpulkan keimanan secara sempurna. Iaitu,
i)              memperlakukan orang lain sebagaimana engkau suka dirimu diperlakukan oleh orang lain
ii)             memberi salam terhadap setiap orang (yang dikenali mahupun yang tidak dikenali)
iii)            mengeluarkan infak di jalan Allah, meskipun hanya sedikit.”
(Riwayat Bukhari)


HATI.
“Saat diuji itulah segala mazmumah akan dimamah. Ego, bangga, rendah diri, kecil hati, kecut, penakut sudah ‘dibakar’ dalam relau mehnah Allah. Dan saat itulah kita layak menerima anugerah. Yakni, bingkisan ijazah daripada ‘universiti mujahadah’. Tiada gelaran, tiada sanjungan ... hadiahnya hanya – hati emas~!!”

Ana petik kata-kata Imam al-Ghazali :
“Carilah hatimu di tiga tempat. Carilah hatimu sewaktu bangun membaca AL-QURAN. Jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan SOLAT. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati MATI. Jika tidak kau temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta HATI yang BARU, kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati.”

Allah. Allah. Allah. Moga Allah sentiasa menjaga hati kita tanpa melepaskannya hatta sekelip mata pada kita sendiri. Mohonlah agar taufik dan hidayah menerangi perjalanan hidup kita.

Ada satu cerita zaman Nabi yang diceritakan oleh Safiyah, “Seorang wanita berkata kepada Aisyah r.ha. mengenai hatinya yang keras. Kemudian Aisyah menjawab, ‘Banyak-banyaklah mengingati mati, tentu hatimu akan lembut.’ Wanita itu lalu melakukannya, hingga hatinya menjadi lembut dan dia datang lagi mengucapkan terima kasih kepda Sayidatina Aisyah r.ha..”

Mudah-mudahan kita dapat menteladani para salafussoleh yang sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Mudah-mudahan mati sentiasa ‘hidup’ di hati kita~!!


ZIKIR.
“Manusia perlukan zikir umpama ikan perluakn air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan , ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tapi ZIKRULLAH mestilah menjadi teras dan asasnya.”
Insya-Allah, dengan zikruLlah hati kita akan menjadi lapang sekalipun tinggal di dalam pondok yang sempit, apatah lagi  kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita.
Dengan itu, semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang dicari terlalu dekat ... hanya berada di dalam hati sendiri~!!

TAUBAT.
Sebanyak mana pun dosa seorang hamba, namun keampunan Allah lebih banyak lagi. Allah bukan sahaja sudi mengampunkan, bahkan menyayangi orang yang bertaubat. Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah mencintai orang yang banyak bertaubat.” (Surah al-Baqarah 2 : 22)

SubhanaLlah. AlhamduliLlah. AllahuAkbar. Sahabat sekalian, jom kita berdoa akhir tahun hijrah bermula masuk waktu Asar dan doa awal tahun hijrah pabila masuknya waktu maghrib. Moga segala doa kita diperkenan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Insya-Allah.

“Ayuh kita berhijrah ke arah yang LEBIH BAIK daripada sebelumnya.”
Wallahua’lam. Salam Ma’al Hijrah <3

Thursday, 5 June 2014

Semuanya Soal Hati : Hati Emas~

BismiLlahirRahmanirRahim~

Sabda Rasulullah SAW : 
"Allah tidak memandang rupa lahir kamu dan harta kamu tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu." (Riwayat Muslim dan Ahmad)

RasuluLlah SAW menganjurkan kita berdoa : "Ya Allah, sempurnakan akhlakku sepertimana Engkau sempurnakan kejadianku." Secara tidak langsung, doa ini mengajar kita bahawa nilai akhlak jauh lebih penting daripada rupa lahir kita.

Allah Yang Maha Adil tidak meletakkan kebahagiaan kepada rupa, harta, kuasa dan nama. Allah tidak zalim kerana meletakkan kebahagiaan pada ketenangan "hati emas" - hati yang mampu dimiliki oleh si miskin atau si kaya, si buruk atau si jelita dan hamba atau raja.

Di mana akan kita temui hati emas seperti itu? Hati itu ditempa dan disesah oleh mujahadah di jalan Allah. Umpama intan yang dipanaskan oleh haba dengan kepanasan berganda atau emas yang disepuh oleh api yang menyala-nyala, maka begitulah hati manusia. Hanya akan bercahaya oleh siraman keringat, deraian air mata dan aliran darah oleh insan yang bermujahadah di jalan-Nya.



Apabila tiba saat diuji, jangan lari tetapi hadapi. Walau pedih, sedih dan tersisih, jangan mengelak. Bersedia dan hadapi. Terima hakikat, jika hidup sudah terhenyak ke dasar paling bawah, jangan berpura-pura lagi. Jangan terus bermuka-muka. Namun, terimalah hakikat supaya mampu bangun kembali dengan cepat! Sering dikatakan oleh ahli kebijaksanaan, "Jangan dipinta diringankan ujian, tetapi pintalah dikuatkan hati untuk menghadapinya!"

Apabila sudah tiba di dasar yang paling bawah, sudah tentu tidak ada lagi tempat untuk jatuh. Maka ketika itulah peribadi akan naik semula ke atas kerana kita sudah membayar "yuran" untuk kejayaan. Kita sudah merasai kepahitan pada ubat yang ditelan. Itulah ubat hati, yang pahit pedih dan menyakitkan tetapi itulah ubat dan penawar yang akan melegakan.

Saat diuji itulah segala mazmumah akan dimamah. Ego, bangga, rendah diri, kecil hati, kecut, penakut sudah "dibakar" dalam relau mehnah Allah. Dan saat itulah kita layak menerima anugerah. Yakni, bingkisan ijazah daripada "universiti mujahadah". Tiada gelaran, tiada sanjungan ... hadiahnya hanya - HATI EMAS!


Memburu selain-Nya hanya akan mengecewakan. Pergilah setinggi puncak karier, rebutlah setinggi nama, carilah sebanyak harta, tanpa hati emas, kau hanya akan meninggikan tempat jatuh. "Berjaya" tanpa keperibadian yang kukuh hanya mendedahkan diri kepada lebih banyak stres dan kebosanan. Tidak ada jalan dan ikhtiar lagi kecuali kembali kepada Allah. Perkukuhkan solat lima waktu dengan sunat rawatib. Luangkan dan lapangkan masa dengan membaca al-Quran dan berselawat. Kurangkan makan dan lisan. Bercakap hanya yang baik atau diam.

Uzlahkan diri jika terasa mata dan telinga terlalu liar untuk ditundukkan. Tersenyumlah dengan penghinaan. Redhalah dengan kesepian. Jangan takut akan kelicikan, tipu daya dan kezaliman. Hayatilah sebuah sabda, "Jika kita menjaga Allah, Allah akan menjaga kita". Tidak mengapa jika dipinggirkan, malah dilupakan sekalipun ... kerana selamanya orang lain tidak akan tahu, betapa lapang dan bahagianya apabila memiliki hati emas itu!



Semoga  saya menulis segala-galanya dari hati, dan semoga segala-galanya itu juga tertumpah ke dalam hati para pembaca. Saya bukanlah insan yang baik, tetapi insyaAllah sedang berusaha ke arah itu dengan cuba menabur sebanyak-banyak kebaikan melalui tulisan. InsyaAllah, semoga Allah mengurniakan taufik dan hidayah-Nya agar kita sentiasa berhati-hati menjaga hati termasuk semasa membaca buku "Semuanya Soal Hati" ini. Amin.. :)

|Pahrol Mohamad Juoi|


Jaga Hati. Jaga Iman. Jaga Diri. 

Fii HifziLlah <3

Moga kita semua senantiasa berada dalam pelukan kasih sayang Allah, Yang Maha Penyayang~ 

Wallahua'lam. Salam Mahabbah :)

Monday, 16 December 2013

Ditinggalkan? Cabaran Bersilih Ganti~

BismiLlahirRahmanirRahim~
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~


Assalamualaikum w.b.r. :)

...........

Kita sebagai manusia pasti tidak akan dapat lari 
daripada cabaran hidup, kan? 

Jatuh? Bangun kembali. Gagahkan diri. Perkasakan minda. 
Kuatkan semangat. Yakin pada diri sendiri :)

.............

Cabaran DEMI Cabaran.
Apakah perkara yang menjadikan kehidupan manusia itu kehidupan yang bermakna? Apabila wujudnya cabaran. Cabaran itu didatangkan oleh siapa?

Allah s.w.t.

                Walaupun mungkin pada zahirnya kita melihat yang menganiayai adalah sahabat kita. Walaupun yang kita nampak memecah rumah kita adalah pencuri. Walaupun yang pemukul kita adalah pembuli. Walaupun yang menyakitkan kita adalah kerja yang bertimbun. Walaupun yang menyebalkan kita adalah kesesakan jalan raya.

Sebenarnya, Allah yang mendatangkan cabaran itu kepada kita.
Bukan sekadar saja-saja.
Tetapi, mahu menguji adakah kita benar-benar hamba-Nya.


Ya, Kita Lelah.
Tidak sembuh kecederaan semalam, hari ini muncul pula luka baru. Kita berasa lelah. Berasa penat, berasa bosan. Ayat kasarnya, kita jemu. Tidak kira apa pun pekerjaan kita, bagaimana pun sikap kita, dan apa pun status kita, cabaran tetap wujud bersama perjalanan hidup kita.

                Kita hanya hamba-Nya, tidak layak berkata apa-apa. Melainkan kita berhadapan sahaja dengan cabaran dan dugaan yang terbentang di hadapan. Siapakah kita? Kita hanya hamba-Nya. Hakikat itu kita perlu dipahat dengan kemas dalam jiwa kita.

                Namun, adakah Allah s.w.t. sebagai Tuan dan Tuhan kita, sekadar suka-suka sahaja melihat kita berhadapan dengan kesukaran demi kesukaran yang mendatang?

Tidak.

Dalam ruang kesukaran ini, Dia tidak meninggalkan kita sebenarnya.


Bukan Ditinggalkan, Tetapi Kita Yang Meninggalkan.
Hakikatnya, kita lemah apabila diduga dengan pelbagai cabaran hidup. Akhirnya, yang membuatkan kita tersungkur cacat adalah disebabkan oleh diri sendiri yang meninggalkan Allah s.w.t. sebagai sumber kekuatan diri.

                Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Tetapi, para hamba-Nya sahaja yang 
menzalimi diri mereka sendiri.

                Zalim bermaksud tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Semua manusia lahir di atas fitrah Islam. Tetapi, kita tidak meletakkan diri kita dalam Islam dengan sebenar-benarnya. Fitrah kita adalah mengakui bahawa Allah adalah Ilah kita, Rabb kita, tetapi pada hari ini, kita tidak bertindak sedemikian rupa. Kita memagari Islam hanya dalam masjid sahaja. kita hanya mengingati Allah ketika saudara-saudara kita meninggal dunia sahaja.

Adakah kita mempunyai kekuatan terhadap cabaran yang datang?
Kepada siapa kita hendak berpaut?

Adakah kepada mereka yang turut mengahadapi cabaran?
Oh, sesungguhnya kita menzalimi diri!


Cabaran Hanya Terhenti Apabila Mati.
Kepada diri saya dan semua, kembar kehidupan ini adalah ujian. Sekiranya bukan, maka Adam a.s. tidak tercampak keluar dari syurga Allah s.w.t.

                Cabaran sentiasa mengejar kita. Walaupun kita hanya berdiam diri tanpa melakukan apa-apa. Dengan memasung diri daripada tidak melakukan apa-apa, kerana takutkan cabaran adalah tindakan yang kurang bijak.

                Oleh itu, marilah kita bangkit bersama-sama. Merentasi segala lautan cabaran dan dugaan yang wujud dalam kehidupan kita ini. Kunci bagi kekal tabah merentasinya adalah dengan menghubungkan kita kepada Pencipta cabaran. Dia adalah Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa.

                Sekiranya kita tidak kembali kepada-Nya, sesungguhnya kita hanya tersungkur dan tidak mampu bangkit semula. Dia sedang menghulurkan tangan-Nya sekarang, adakah pantas kita melewat-lewatkan diri bagi menyambut huluran-Nya?

                Sekiranya kita sengaja melewatkan diri, ketahuilah apabila kita gugur dihentam badai cabaran nanti, kita adalah orang yang rugi!

Petikan Buku Untuk Kita Pendosa : Harapan Selalu Ada (Karya Hilal Asyraf)
*******

Tidak Pula Kita Nampak.
Ayuh kita perhatikan penjelasan Allah kepada rasul-Nya, maksud dalam surah ad-Dhuha ayat 1-11 dan surah Asy-Syarh ayat 1-8. Kemudian, disampaikan kepada kita bagi menyedari kebenarannya.

                Perhati. Baca. Faham. Hadam. Kata-kata pujukan menghangat. Siapakah yang menyatakan dirimu ditinggalkan, wahai manusia? Siapakah yang menyatakan dirimu dizalimi, wahai manusia? Siapakah yang berani menyatakan bahawa Allah meninggalkannya sekarang?

                Tusukkanlah ayat-ayat ini dalam jiwamu, wahai insan. Adakah kita manusia yang tidak memerhatikan ini semua?

                AllahuRabbi. NastaghfiruLlahal’azim. Moga Allah kuatkan jiwa, tabahkan hati dan teguhkan semangat kita dalam menghadapi cabaran, dugaan dan ujian hidup di dunia yang fana ini. Moga secebis usaha kita dapat menjadi bekal buat kita di akhirat kelak. InsyaAllah.

**Allah Uji Tanda Allah Sayang**


Wallahua’lam. Wassalam. <3

Saturday, 2 November 2013

Hak Dan Kewajipan Seorang Muslim~

BismiLlahirRahmanirRahim~
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang ~
Assalamualaikum w.b.r. :)


Daripada Abu Hurairah r.a., sesungguhnya Nabi S.A.W. telah bersabda : “Hak seorang muslim terhadap muslim yang lain ada enam. Sahabat bertanya : “Apakah dia wahai Rasulullah?”. Jawab baginda : “Apabila engkau berjumpa dengannya, berilah salam. Apabila dia menjemput ke rumahnya, hendaklah engkau terima (jemputan). Apabila dia meminta nasihat, berilah nasihat kepadanya. Apabila dia bersin lalu memuji Allah dengan ‘AlhamduliLlah,’ maka doakanlah dia dengan ‘yarhamukaLlah’. Apabila dia sakit, ziarahilah. Seterusnya, apabila dia meninggal dunia, iringilah jenazahnya ke kubur.”                                                                                       (Hadis Riwayat Muslim)

****************************

Pengertian hak terhadap muslim yang lain ialah kewajipan yang mesti dipelihara dan diamalkan oleh setiap muslim bagi menjaga keperibadiannya serta bagi melahirkan masyarakat Islam yang bersaudara selaras dengan firman Allah S.W.T. :

"Innama almukminuna ikhwah"
(Surah Al-Hujurat : Ayat 10)

Apabila Bertemu, Ucapkanlah Salam
Memberi salam adalah satu cara penghormatan yang diamalkan antara sesama Islam apabila bertemu. Hukum memberi salam ialan sunat muakkad, sementara menjawabnya adalah wajib.


Allah S.W.T. berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 86, yang bermaksud :
“Dan apabila kamu dihormati dengan suatu (salam) penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan lebih baik, atau balaslah (penghormatan itu, yang sepadan) dengannya. Sungguh, Allah memperhitungkan segala sesuatu.”

Aturan memberi salam
>Orang yang berkenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan kaki. Orang yang berjalan memberi salam kepada orang yang duduk. Kumpulan yang sedikit memberi salam kepada kumpulan yang ramai. 
Dan orang yang muda memberi salam kepada orang yang lebih tua.<

Memenuhi Jemputan (Undangan)
Antara kad jemputan yang biasa kita dapat :)

Apabila seseorang mukmin mengundang kita ke majlisnya, hendaklah kita hadiri majlis itu sekiranya majlis itu bertujuan baik, seperti majlis ta’aruf, majlis perkahwinan atau seumpamanya. Hal ini adalah salah satu jalan untuk merapatkan hubungan persahabatan, memupuk sifat jujur dan menggalakkan kerjasama dalam melakukan kebaikan.

Memberi Nasihat
Apabila seseorang mukmin meminta nasihat atau pertolongan sama ada pertolongan itu berupa wang ringgit atau buah fikiran bagi menyelesaikan kesulitan yang dihadapinya, maka wajiblah diberikan bantuan mengikut kemampuan kita. Hal ini seiring dengan dengan firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-’Asr, ayat ke-3 yang bermaksud “Berilah nasihat dengan kebenaran dan kesabaran”.



Saling Mendoakan Ketika Bersin

“Jika salah seorang di antara kalian bersin, hendaklah ia mengucapkan ‘Alhamdulillah’, jika ia mengatakannya maka hendaklah saudaranya atau temannya membalas : ‘yarhamukallah’ (semoga Allah merahmatimu). Dan jika temannya berkata ‘yarhamukallah’, maka ucapkanlah: ‘yahdikumullah wa yushlihu baalakum’ (semoga Allah memberimu petunjuk dan memperbaiki keadaanmu).”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no. 6224 daripada Abu Hurairah r.a.)


Menziarahi Orang Sakit
Apabila seseorang mukmin itu sakit hendaklah kita menziarahinya. Ziarah-menziarahi adalah amalan baik dan digalakkan kerana boleh merapatkan hubungan persahabatan dan persaudaraan. Amalan ini perlu dilakukan bukan sahaja semasa sakit bahkan semasa sihat. Ziarah ketika sakit adalah tanda simpati yang dapat mewujudkan suasana baik serta boleh memberi kekuatan dan ketenangan jiwa kepada pesakit.



Mengiringi Jenazah
Daripada Abi Sa’id Al-Khudri r.a., Nabi S.A.W. bersabda : “Hendaklah kamu menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah, itu akan mengingatkan kamu tentang akhirat.”          (Hadis Riwayat Ahmad)

 (Perkuburan Baqi' di sebelah kiri Masjid Nabawi, Madinah)

***********
Pengajaran Hadis :
                Semua enam kewajipan tersebut perlu diambil berat oleh setiap orang Islam dan wajib diamalkan supaya dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai semangat saling membantu, mengambil berat dan sanggup berkongsi masalah demi kebahagiaan dan kesejahteraan hidup umat Islam.

--------------Kita sama-sama hayati dan selamat beramal-------------

Wallahua’lam. Wassalam <3


Sumber Rujukan : Buku Sukatan Usrah Badar :)

Wednesday, 5 December 2012

sUaMi AkU uStAz ^^


>> BINGKISAN NOVEL “SUAMI AKU USTAZ” <<



Usai solat Zohor, ana ternampak akan beberapa buah buku baharu yang belum ana lihat di rak buku. Ana terus menilik akan tajuk-tajuk buku yang terdapat di situ dan pandangan mata ana berhenti pada saat menatap sebuah novel yang bertajuk “SUAMI AKU USTAZ” karya oleh Hannah Dhaniyah. Hehehee ^^ Ana pun ambil novel tersebut dan membelek muka depan yang tercatat (24 Mei 2012,KL). Ouhh. Adikku yang membeli novel ini setelah menghantarku ke pendaftaran tamhidi USIM, Nilai pada 23 Mei 2012. Di sini ana nak kongsi beberapa input yang ana dapat semasa membaca novel ni.

*bak kata ummi, nak baca novel boleh, tapi kena pandai pilih yang mana baik untuk kita 
ambil ‘ibrah daripadanya agar pembacaan kita tu tidaklah hanya sia-sia sahaja* ^^

-----------------------------------------------------------------

= BAITUL MUSLIM =


“Bila bercakap tentang baitul Muslim sebenarnya tak semestinya tentang perkahwinan, percintaan atau apa pun yang kamu semua fikirkan. Baitul itu maknanya rumah dan Muslim itu pula mereka yang mengucap dua kalimah syahadah ataupun orang Islam. Jadi, baitul Muslim pun boleh dimaksudkan dengan keluarga Islam.”

“Pembentukan keluarga Islam itu bermula daripada individu itu sendiri. Sebab itu saya katakan tadi, bermula dari sekarang kamu dah boleh prepare untuk mendirikan baitul Muslim. Didik diri sendiri untuk menjadi yang soleh dan solehah, barulah mencari yang solehah dan soleh untuk menjadi pasangan kita.”

“Daripada individu yang hebat, pasangan yang hebat, barulah boleh melahirkan generasi yang hebat juga. Baitul Muslim bukan hanya untuk pembinaan keluarga, tetapi ia juga untuk membina ummah.”

“Jadi, perkahwinan ataupun baitul Muslim ni  bukanlah perkara kecil sebab ia melibatkan pembinaan ummah. Ia perkara besar yang sepatutnya kamu boleh berfikir mulai sekarang. Untuk agama kita.”

“Apa-apa pun, memandangkan kamu semua belum berkahwin, jadi  tak semestinya  hanya selepas kahwin baru boleh membina baitul Muslim. Jangan lupa yang kamu masih ada keluarga dekat rumah. Keluarga kamu itulah kamu kena terapkan ajaran dan nilai-nilai Islam. Sebabnya, kita hendaklah menyelamatkan diri kita dan ahli keluarga kita daripada api neraka.”

~Ustaz Muhammad Nur Hafiz~


----------------------------------------------------------------
= SEJARAH ISLAM =

“Bila datang Kundasang War Memorial, ana teringatkan sejarah kita. Sejarah Islam. Lisa bayangkan, seramai tiga ratus nak lawan seribu yang tiga ganda besar bilangan dia, mungkin kita rasa mustahilkan?”

“Tapi disebabkan keyakinan orang Islam terhadap Allah, disebabkan kecintaan mereka kepada Allah, mereka tak kisah pun masa Nabi ajak berperang. Sebab mereka yakin dengan Allah. Kalau mereka mati pun, mereka syahid di jalan Allah, mereka mati pun, mereka dapat berjumpa dengna kekasih mereka, iaitu Allah.”

“Lisa tahu, kalaulah mereka yang tiga ratus tiga belas ni tak sanggup nak berperang, kalau Allah membuatkan mereka kalah dan mati, kita tak merasa agama Allah ni sekarang. Besar pengorbanan orang yang awal-awal menganut Islam ni. Sudahlah nak berubah daripada adat kebiasaan mereka sebagai jahiliah tu susah, kena pulak berperang dalam keadaan tak mempunyai apa-apa. Yang mereka ada hanya Allah, cintakan Rasul, Allah pun akan cintakan mereka dan beri kemenangan kepada mereka.”

~Akh Hafiz~

-----------------------------------------------------------------

= Apa beza antara ‘Islam’ dan ‘islam’? =

“Islam yang ‘I’ besar tu, hanyalah pada nama. Kita seorang Islam. Ya, betul tapi belum tentu kita ni seorang Muslim. Kiranya, ‘I’ besar untuk orang Islam hanya di dalam IC dan ‘i’ kecil orang yang betul-betul cuba menghayati cara hidup Islam.”

----------------------------------------------------------------------

= INI SEJARAH KITA =

“Islam bermula masa Nabi Muhammad mendapat wahyu, Lisa. Selepas itu, Islam berkembang sedikit demi sedikit. Daripada dakwah secara rahsia, sehinggalah secara terang-terangan. Sampai pada suatu hari ni, Musyrikin Mekah memerangi umat islam dalam Perang Badar.”

“Masa tu, hanya ada tiga ratus tiga belas umat islam je. Yang menariknya, mereka ini baru saja menganut agama Allah. Tapi disebabkan Rasulullah berjaya mendidik hati mereka dengan mencintai Allah, mereka sanggup berjuang walaupun tak mempunyai apa-apa.”

“Kalau ditakdirkan Islam kalah dalam  Perang Badar, tak ada lagi umat yang akan menyebarkan Islam. Tapi perancangan Allah ni cantik. Semakin lama, umat Islam semakin bertambah. Sehinggalah Rasulullah s.a.w. berjaya membina sebuah negara Islam di Madinah. Betapa hebatnya Rasulullah yang tidak tahu membaca dan menulis, berjaya menjadi pemimpin, bukan? Jadi terbuktilah al-Quran itu adalah daripada Allah, bukan ciptaan Rasulullah.”

“Selepas itu, Rasulullah s.a.w. wafat. Naik pula empat orang sahabat baginda meneruskan penyebaran agama Islam. Umat Islam masa zaman ni, hati mereka dipenuhi dengan nama Allah je. Buat apa-apa semuanya kerana Allah. Makin lama, Islam makin berkembang. Sehinggalah terciptanya tamadun Islam di dunia. Masa Islam berkembang naik ni Lisa, orang Barat masa tu mengalami zaman kegelapan. Macam zaman jahiliahlah...”

“Masa kerajaan Abasiyah, umat Islam terlalu hebat. Masa inilah ramai cendekiawan Islam yang terulung muncul. Orang Barat pula mula berjinak-jinak dengan ilmu apabila melihat umat Islam naik. Bayangkan, Rasulullah s.a.w. yang hanya duduk di padang pasir, berjaya menyebarkan Islam sehinggalah terbentuk sebuah tamadun. Tapi dia orang lupa. Apabila dah kecapi kekayaan, dah dapat macam-macam nikmat, mereka makin jauh dari Allah. Sebab itulah Allah uji mereka. Akhirnya, tamadun yang terbentuk bermula dengan dakwah Rasulullah s.a.w. musnah disebabkan serangan orang Monggol. Sehinggalah muncul seorang pemimpinyang hebat iaitu, Sultan Muhammad Al-Fateh. Masa itu, baru Islam naik sikit.”

“Bayangkan Lisa... masa zaman Nabi lagi, Nabi dah bercerita kepada sahabat-sahabat baginda tentang kemunculan pemimpin yang hebat ini. Rajanya adalah sebaik-baik tentera. Lisa tahu macam mana orangnya Sultan Muhammad Al-Fateh ni?”

“Beliau seorang yang sangat hebat dan sangat cintakan Allah. Buktinya, masa dia nak menaikkan semangat tenteranya, dia cakap, siapa yang mahukan syahid, ikut dia. Dan lagi satu yang menariknya, selepas dia berjaya tawan Istanbul, semua orang tidak tahu siapa yang nak jadi imam. Sehinggalah dia bertanya dan menyuruh askar-askar dia yang tidak pernah meninggalkan solat fardhu selepas baligh, duduk. Tak ada seorang pun yang duduk, Lisa. Sebab itulah askar-askar dia adalah sebaik-baik askar. Apabila ditanya siapa yang tidak pernah tinggal solat rawatib, baru separuh yang duduk. Apabila ditanya siapa yang tak pernah tinggal solat malam, semua orang duduk kecuali dia, Sultan Muhammad Al-Fateh. Orang yang sangat hebat!”

“Zaman sekarang ni, kita dah jatuh sebab kita jauh dari Allah. Allah sendiri dah beritahu dalam al-Quran, siapa yang membantu agama Allah, Allah membantu dia balik. Kiranya, tamadun Barat yang sedang berkembang ni sebenarnya bermula selepas tamadun kita jatuh. Ilmu-ilmu yang berkembang sekarang, dicedok daripada buku-buku cendekiawan Islam. Kita tak rasa sayang dengan tamadun kita, sebab itulah kita buat tak tahu dan orang sekarang jarang berusaha untuk mengubah nasib Islam. Jadi, kita yang tahu, kongsi-kongsilah apa yang kita tahu kepada yang belum tahu.”

-----------------------------------------------------------------------

= DOA NABI MUSA =


“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu cinta-Mu dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu dan aku memohon kepada-Mu perbuatan yang dapat menghantarku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin.”
>> Ameen Ya Rabbal ‘Alamin<<

***********

Wallahua’alam..mana yang baik, dijadikan teladan..mana yang buruk, dijadikan sempadan..sesungguhnya yang baik  itu datangnya daripada ‘Yang Maha Pencipta’..manakala yang buruk itu datangnya daripada ‘yang dicipta’..hakikatnya semua yang berlaku adalah daripada-Nya..
Semoga kita semua mendapat BARAKAH dan MAGHFIRAH-NYA ^^ insyaAllah

<3 Wassalam + salam sayang dariku <3

May ALLAH Bless Us Fiddunya Wal Aakhirah J