BismiLlahirRahmanirRahim~

Friday 24 October 2014

HIJRAH : Menelusuri Kehidupan


BismiLlahirRahmanirRahim~

1435 Hijrah bakal melabuhkan tirainya pabila terbenamnya matahari pada petang ini. Mari kita sama-sama menghisab diri akan segala amalan yang telah kita lakukan, sama ada baik atau buruk. Moga Allah menerima segala amal yang kita tunaikan liLlahi ta’ala dan juga DIA ampuni segala kekhilafan kita sama ada kita sengaja ataupun tidak. NastaghfiruLlahal’azim~



HIJRAH.
Mendalam ertinya. Menelusuri sejarah, RasuluLlah, para sahabat dan para muslimin Makkah al-Mukarramah berhijrah ke Madinah al-Munawwarah pada 622 Masihi. Tujuannya ialah menyelamatkan aqidah, meluaskan medan dakwah dan membangunkan pemerintahan berteraskan tauhid kepada Allah.

Begitu juga kita. Hijrah hati dan akhlak, menjadi yang lebih baik daripada sebelum  ini. Moga tahun baru hijrah ini, kita sama-sama perbaharui azam kita dan tingkatkan usaha kita mencari keredhaan Allah Azza Wajalla. Jadikan RasuluLlah s.a.w sebagai qudwah hasanah dalam segenap amalan kita agar perjalanan hidup kita di muka bumi yang sementara ini berada di jalan yang lurus. Bi idzniLlah.



HIDUP.
“Hidup di dunia ini penting kerana adanya akhirat.
Jadi, kita mesti memanfaatkan kehidupan di dunia
sebagai jambatan kebahagiaan di akhirat.”

“Usah dipinta hidup yang mudah,
tapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya~!!”


DUNIA.
Dunia ini ialah tempat ujian, manusia akan terus diuji dalam setiap pergerakan apatah dalam hal rezeki. Terdapat sebuah hadis sahih yang memberi tip untuk mendapatkan iman yang sempurna :
“Ada tiga perkara yang sesiapa dapat mengumpulkan ketiga-tiga hal itu dalam dirinya,
maka dia telah dapat mengumpulkan keimanan secara sempurna. Iaitu,
i)              memperlakukan orang lain sebagaimana engkau suka dirimu diperlakukan oleh orang lain
ii)             memberi salam terhadap setiap orang (yang dikenali mahupun yang tidak dikenali)
iii)            mengeluarkan infak di jalan Allah, meskipun hanya sedikit.”
(Riwayat Bukhari)


HATI.
“Saat diuji itulah segala mazmumah akan dimamah. Ego, bangga, rendah diri, kecil hati, kecut, penakut sudah ‘dibakar’ dalam relau mehnah Allah. Dan saat itulah kita layak menerima anugerah. Yakni, bingkisan ijazah daripada ‘universiti mujahadah’. Tiada gelaran, tiada sanjungan ... hadiahnya hanya – hati emas~!!”

Ana petik kata-kata Imam al-Ghazali :
“Carilah hatimu di tiga tempat. Carilah hatimu sewaktu bangun membaca AL-QURAN. Jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan SOLAT. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati MATI. Jika tidak kau temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta HATI yang BARU, kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati.”

Allah. Allah. Allah. Moga Allah sentiasa menjaga hati kita tanpa melepaskannya hatta sekelip mata pada kita sendiri. Mohonlah agar taufik dan hidayah menerangi perjalanan hidup kita.

Ada satu cerita zaman Nabi yang diceritakan oleh Safiyah, “Seorang wanita berkata kepada Aisyah r.ha. mengenai hatinya yang keras. Kemudian Aisyah menjawab, ‘Banyak-banyaklah mengingati mati, tentu hatimu akan lembut.’ Wanita itu lalu melakukannya, hingga hatinya menjadi lembut dan dia datang lagi mengucapkan terima kasih kepda Sayidatina Aisyah r.ha..”

Mudah-mudahan kita dapat menteladani para salafussoleh yang sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Mudah-mudahan mati sentiasa ‘hidup’ di hati kita~!!


ZIKIR.
“Manusia perlukan zikir umpama ikan perluakn air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan , ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tapi ZIKRULLAH mestilah menjadi teras dan asasnya.”
Insya-Allah, dengan zikruLlah hati kita akan menjadi lapang sekalipun tinggal di dalam pondok yang sempit, apatah lagi  kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita.
Dengan itu, semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang dicari terlalu dekat ... hanya berada di dalam hati sendiri~!!

TAUBAT.
Sebanyak mana pun dosa seorang hamba, namun keampunan Allah lebih banyak lagi. Allah bukan sahaja sudi mengampunkan, bahkan menyayangi orang yang bertaubat. Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah mencintai orang yang banyak bertaubat.” (Surah al-Baqarah 2 : 22)

SubhanaLlah. AlhamduliLlah. AllahuAkbar. Sahabat sekalian, jom kita berdoa akhir tahun hijrah bermula masuk waktu Asar dan doa awal tahun hijrah pabila masuknya waktu maghrib. Moga segala doa kita diperkenan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Insya-Allah.

“Ayuh kita berhijrah ke arah yang LEBIH BAIK daripada sebelumnya.”
Wallahua’lam. Salam Ma’al Hijrah <3

No comments: