BismiLlahirRahmanirRahim~

Monday 15 April 2013

HADIS 40 : MENGAMBIL DUNIA UNTUK KESELAMATAN AKHIRAT


BismiLlahirRahmanirRahim~
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang ~
Assalamualaikum w.b.r. :)

“Tidak ada enaknya kehidupan dunia ini kerana intinya berisi ingatan
akan usia tua dan mati.” (Syair Arab)

Daripada Ibn Umar r.a. beliau berkata, bahawa Rasulullah memegang belakang beliau lalu bersabda :

Maksudnya : “’Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing atau pengembara.’ Lalu Ibn Umar r.a. berkata : ‘Jika engkau telah berada di waktu petang, maka janganlah dinantikan waktu pagi. Jika engkau berada di waktu pagi, maka janganlah dinantikan waktu petang. Pergunakanlah waktu sihatmu sebelum sakit dan waktu hidup sebelum mati.’”
(Riwayat al-Bukhari no 6416 dan al-Tirmizi no. 2333)


HURAIAN DAN INTI SARI

Hadis ini mencakupi pelbagai jenis kebaikan dan nasihat. Kandungan hadis ini sebagai tapak untuk tidak terlena di dunia kerana setiap Muslim tidak sepatutnya menjadikan dunia ini sebagai tempat tinggal yang abadi.

Jangan bersifat tamak dan berlebih-lebihan. Ambillah hanya sekadar keperluan sahaja. Itu pun untuk menjadi bekalan dalam perjalanan menuju ke akhirat.

Imam Abul Hassan ‘Ali bin Khalaf dalam Syarah Bukhari berkata bahawa Abu Zinad berkata :
“Hadis ini bermakna menganjurkan agar sedikit bergaul dan sedikit berkumpul dengan orang-orang awam bersikap zuhud kepada dunia.”

Abul Hasan berkata :
“Maksud dari hadis ini ialah orang asing biasanya sedikit berkumpul dengan orang lain sehingga dia terasing daripada mereka, kerana hampir-hampir dia hanya berkumpul dan bergaul dengan orang-orang ini saja. Dia menjadi orang yang merasa lemah dan takut.”

“Begitu pula seorang pengembara, dia hanya mahu melakukan perjalanan mengikut kekuatannya. Dia hanya membawa beban yang ringan agar dia tidak dibebani untuk menempuh perjalanannya. Dia hanya membawa bekal dan kenderaan yang diperlukan untuk mencapai tujuannya.

Hal ini menunjukkan bahawa sikap zuhud terhadap dunia dimaksudkan untuk dapat sampai kepada tujuan dan mencegah kegagalan, seperti halnya seorang pengembara yang hanya membawa bekal sekadarnya agar sampai ke tempat yang dituju.

Begitu pula halnya dengan seorang Mukmin dalam kehidupan di dunia ini hanyalah memerlukan sekadar bekal untuk mencapai tujuan hidupnya.”


PENGAJARAN 

1. Ada ketikanya Rasulullah SAW menyentuh anggota badan orang yang dinasihati ketika menyampaikan amanat atau ilmu. Kaedah ini harus digunakan oleh para pendidik.
Ibn Mas’ud berkata, “Rasulullah SAW telah mengajarkan kepadaku cara bertasyahud, sambil memegang tapak tanganku.”

2.    Dunia ini sementara dan akhirat itu kekal abadi. Firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 185 yang bermaksud :

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati.”

Namun tiada seorang pun yang akan mengetahui ajal mautnya.


3.    Dunia hanyalah jambatan yang akan menghubungkan kita ke akhirat. Allah berfirman dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 185 yang bermaksud :

“Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya.”

4.    Gunakan kesempatan masa hidup untuk berbakti kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda :

“Manfaatkan lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain : Masa muda sebelum masa tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati.”
(Riwayat al-Hakim daripada Ibn Umar r.a.)


5.    Hendaklah segera melakukan kebaikan, banyak melakukan ketaatan dan jangan menunda pekerjaan.

6.    Berzuhudlah terhadap dunia dalam ertikata bukan meninggalkan usaha tetapi berwaspada terhadap dunia agar tidak melupakan akhirat.

7.    Bersungguh-sungguh melakukan amal soleh dan sentiasa takut dengan azab daripada Allah SWT.

8.    Berwaspada terhadap orang yang berperilaku buruk.

9.    Perbuatan yang bersifat duniawi wajib dilakukan jika mahu memenuhi keperluan untuk mendapatkan akhirat.

10. Kita hendaklah bersikap profesional di antara dunia dan di akhirat.

………………………………………………………………………

Tinta Qalam : sudah tercatat dalam Surah Ar-Rum, ayat 64 yang bermaksud :
“Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui.”


Maka, jelaslah bahawa dunia ini tempat kita untuk menanam, dan akhirat itu tempat kita menuai hasilnya. Berpenat lelah di dunia bagi menjamin kesenangan di akhirat yang abadi. Moga Allah Redha :)

WASSALAM~

Sumber : Buku Hadis 40 Imam Nabawi ^^