BismiLlahirRahmanirRahim~

Monday 16 December 2013

Ditinggalkan? Cabaran Bersilih Ganti~

BismiLlahirRahmanirRahim~
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~


Assalamualaikum w.b.r. :)

...........

Kita sebagai manusia pasti tidak akan dapat lari 
daripada cabaran hidup, kan? 

Jatuh? Bangun kembali. Gagahkan diri. Perkasakan minda. 
Kuatkan semangat. Yakin pada diri sendiri :)

.............

Cabaran DEMI Cabaran.
Apakah perkara yang menjadikan kehidupan manusia itu kehidupan yang bermakna? Apabila wujudnya cabaran. Cabaran itu didatangkan oleh siapa?

Allah s.w.t.

                Walaupun mungkin pada zahirnya kita melihat yang menganiayai adalah sahabat kita. Walaupun yang kita nampak memecah rumah kita adalah pencuri. Walaupun yang pemukul kita adalah pembuli. Walaupun yang menyakitkan kita adalah kerja yang bertimbun. Walaupun yang menyebalkan kita adalah kesesakan jalan raya.

Sebenarnya, Allah yang mendatangkan cabaran itu kepada kita.
Bukan sekadar saja-saja.
Tetapi, mahu menguji adakah kita benar-benar hamba-Nya.


Ya, Kita Lelah.
Tidak sembuh kecederaan semalam, hari ini muncul pula luka baru. Kita berasa lelah. Berasa penat, berasa bosan. Ayat kasarnya, kita jemu. Tidak kira apa pun pekerjaan kita, bagaimana pun sikap kita, dan apa pun status kita, cabaran tetap wujud bersama perjalanan hidup kita.

                Kita hanya hamba-Nya, tidak layak berkata apa-apa. Melainkan kita berhadapan sahaja dengan cabaran dan dugaan yang terbentang di hadapan. Siapakah kita? Kita hanya hamba-Nya. Hakikat itu kita perlu dipahat dengan kemas dalam jiwa kita.

                Namun, adakah Allah s.w.t. sebagai Tuan dan Tuhan kita, sekadar suka-suka sahaja melihat kita berhadapan dengan kesukaran demi kesukaran yang mendatang?

Tidak.

Dalam ruang kesukaran ini, Dia tidak meninggalkan kita sebenarnya.


Bukan Ditinggalkan, Tetapi Kita Yang Meninggalkan.
Hakikatnya, kita lemah apabila diduga dengan pelbagai cabaran hidup. Akhirnya, yang membuatkan kita tersungkur cacat adalah disebabkan oleh diri sendiri yang meninggalkan Allah s.w.t. sebagai sumber kekuatan diri.

                Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Tetapi, para hamba-Nya sahaja yang 
menzalimi diri mereka sendiri.

                Zalim bermaksud tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Semua manusia lahir di atas fitrah Islam. Tetapi, kita tidak meletakkan diri kita dalam Islam dengan sebenar-benarnya. Fitrah kita adalah mengakui bahawa Allah adalah Ilah kita, Rabb kita, tetapi pada hari ini, kita tidak bertindak sedemikian rupa. Kita memagari Islam hanya dalam masjid sahaja. kita hanya mengingati Allah ketika saudara-saudara kita meninggal dunia sahaja.

Adakah kita mempunyai kekuatan terhadap cabaran yang datang?
Kepada siapa kita hendak berpaut?

Adakah kepada mereka yang turut mengahadapi cabaran?
Oh, sesungguhnya kita menzalimi diri!


Cabaran Hanya Terhenti Apabila Mati.
Kepada diri saya dan semua, kembar kehidupan ini adalah ujian. Sekiranya bukan, maka Adam a.s. tidak tercampak keluar dari syurga Allah s.w.t.

                Cabaran sentiasa mengejar kita. Walaupun kita hanya berdiam diri tanpa melakukan apa-apa. Dengan memasung diri daripada tidak melakukan apa-apa, kerana takutkan cabaran adalah tindakan yang kurang bijak.

                Oleh itu, marilah kita bangkit bersama-sama. Merentasi segala lautan cabaran dan dugaan yang wujud dalam kehidupan kita ini. Kunci bagi kekal tabah merentasinya adalah dengan menghubungkan kita kepada Pencipta cabaran. Dia adalah Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa.

                Sekiranya kita tidak kembali kepada-Nya, sesungguhnya kita hanya tersungkur dan tidak mampu bangkit semula. Dia sedang menghulurkan tangan-Nya sekarang, adakah pantas kita melewat-lewatkan diri bagi menyambut huluran-Nya?

                Sekiranya kita sengaja melewatkan diri, ketahuilah apabila kita gugur dihentam badai cabaran nanti, kita adalah orang yang rugi!

Petikan Buku Untuk Kita Pendosa : Harapan Selalu Ada (Karya Hilal Asyraf)
*******

Tidak Pula Kita Nampak.
Ayuh kita perhatikan penjelasan Allah kepada rasul-Nya, maksud dalam surah ad-Dhuha ayat 1-11 dan surah Asy-Syarh ayat 1-8. Kemudian, disampaikan kepada kita bagi menyedari kebenarannya.

                Perhati. Baca. Faham. Hadam. Kata-kata pujukan menghangat. Siapakah yang menyatakan dirimu ditinggalkan, wahai manusia? Siapakah yang menyatakan dirimu dizalimi, wahai manusia? Siapakah yang berani menyatakan bahawa Allah meninggalkannya sekarang?

                Tusukkanlah ayat-ayat ini dalam jiwamu, wahai insan. Adakah kita manusia yang tidak memerhatikan ini semua?

                AllahuRabbi. NastaghfiruLlahal’azim. Moga Allah kuatkan jiwa, tabahkan hati dan teguhkan semangat kita dalam menghadapi cabaran, dugaan dan ujian hidup di dunia yang fana ini. Moga secebis usaha kita dapat menjadi bekal buat kita di akhirat kelak. InsyaAllah.

**Allah Uji Tanda Allah Sayang**


Wallahua’lam. Wassalam. <3

No comments: