BismiLlahirRahmanirRahim~

Sunday 29 December 2013

Gurun? Kami Gerun~

BismiLlahirRahmanirRahim~
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~


Assalamualaikum w.b.r. :)


AlhamduliLlah thumma alhamduliLlah. Selesai sudah seminggu kami berkampung di Gurun, Kedah untuk menyertai Kursus Pemantapan Matapelajaran, Kenaikan Bengkung, Seni Tari Wajib dan Bengkel Etika Adat Istiadat Gayong 2013. Kami, sebahagian pesilat Gelanggang Indera Bentara daripada IPG Kampus Bahasa Melayu pulang membawa ilmu serta kejayaan dan semangat Gurun untuk dikongsi bersama rakan-rakan yang lain.  

Perjalanan kami (ana, kak Mujahidah, kak Mahirah) bermula pada 18 Disember, masing-masing daripada kampung halaman menuju ke ibu kota Kuala Lumpur. Dan pada malam itu, kami bermalam di rumah ibu saudara ana di Sungai Besi. Keesokan harinya, 19 Disember, kami menaiki bas Cosmic selama 8 jam menghala ke Jitra, Kedah. Seterusnya kami bertolak ke Gurun selepas solat Jumaat dengan menaiki kereta dan mendaftar bersama-sama pesilat Gelanggang Bentara Setia daripada IPG Bahasa Antarabangsa di kediaman Dato’ Raja Abdul Majid bin Md Isa atau lebih mesra dipanggil dengan panggilan Pak Ndak pada 20 Disember.

Pada hari pertama kursus, aktiviti hanya taklimat perjalanan kursus, solat berjemaah serta ucapan daripada Pak Ndak dan Pak Ngah iaitu abang ipar kepada Pak Ndak yang juga merupakan ahli Gayong. Banyak cerita dan kisah yang dikongsikan bersama kami dalam loghat bahasa utara. **Dengaq baik2 nohh**

Pabila menjelang hari kedua kursus, maka bermulalah perjalanan kami menjalani latihan silat di bumi Gurun ini. AllahuRabbi. Semenjak lama bercuti, dah lama kami tidak membuat aktiviti fizikal sebegini. Oleh sebab itu badan kami sakit-sakit dan cepat penat apabila bersilat. Para peserta kursus telah diagihkan kepada beberapa kumpulan mengikut warna bengkung dan mempunyai gurulatih masing-masing. Dalam kumpulan ana iaitu bengkung hijau, gurulatih yang bertanggungjawab mengajar kami  ialah Cikgu Effendi dan Cikgu Asraf. Selain itu, ketua gurulatih iaitu Cikgu Faiz turut memantau latihan kami serta Cikgu Jie atau lebih senang dipanggil Ummi pun turut sama-sama memberi tunjuk ajar.

Kami telah memfokuskan bahagian buah kuncian terlebih dahulu dalam latihan kami daripada buah 1 sehingga 21. Haa.. Bab ini lah yang ana kureng sikit. **LamPi** hhuhu.. Nak ingat nombor dan cara kuncian yang betul pada masa yang singkat, betul-betul menguji semangat ana. Tambahan pula pabila hampir kesemua ahli kumpulan ana sudah pun belajarnya di gelanggang masing-masing. **FOKUS** Sebelum melelapkan mata, kami ambil pen dan kertas sambil mencatat nombor dan cara kuncian agar lebih mudah mengingat. Hal ini kerana untuk setiap latihan seterusnya, cikgu kami pasti akan menguji dengan menyebut nombor kuncian dan melihat bagaimana kami mengaplikasikannya.

Masuk hari ketiga, barulah kami mula belajar bahagian pukulan 1 sehingga 21 dan alhamduliLlah, semangat kami semakin bertambah kerana pabila masuk bahagian pukulan ini ia lebih mudah berbanding bahagian buah kuncian yang lebih ‘complicated’. Hari keempat pula, kami belajar Pentas 3 iaitu buah 1 hingga 7.

Pada pagi 24 Disember kami ber’jungle trekking’ di Gunung Jerai setelah dibahagikan kepada 6 kumpulan. Sepanjang perjalanan daripada gelanggang pusat hingga ke kaki gunung, kami diberikan amanah agar berzikir dalam kumpulan. Antara barang amanah yang dipertanggungjawabkan adalah sebiji telur ayam, sehelai bendera Gayong / Malaysia / Kedah dan alatan masakan. Laluan kami agak mencabar kerana dikehendaki melalui batu yang licin di sepanjang anak sungai dan kami berhenti di kawasan air terjun. Latihan kami pada pagi itu ialah latihan tumbukan dan sepakan di dalam air dengan cara yang betul. Setelah itu, kami dikehendaki memasak masakan rimba daripada bahan yang disediakan dan seterusnya menghidangkan masakan kepada juri. Nama hidangan kumpulan ana ialah **Wafer Kasih Alam** ahaks..gabungan daripada biskut + telur + sardin yang dihidangkan di atas daun besar. Sedap!! 

Setelah masuk waktu Zohor, kami menikmati makan tengah hari di tepi sungai dan kemudiannya pulang kembali ke gelanggang pusat dengan melalui jalan yang berbeza dengan waktu kami datang. Pada hari yang sama, waktu yang ditunggu-tunggu telah pun tiba iaitu ujian bengkung. Kami diuji bukan dengan calang-calang orang tetapi para penguji terdiri daripada orang kuat Persatuan Seni Silat Gayong Pusaka Malaysia. Ana dan kak Mahirah menjalani ujian pergerakan asas terlebih dahulu yang disusuli dengan ujian Pentas 3. Seterusnya ujian pukulan dan akhir sekali ujian buah kuncian.

AlhamduliLlah. Satu perasaan yang sangat lega pabila kami semua berjaya menghabiskan semua ujian pada waktu itu, walau hakikatnya keputusan ujian belum pun kami ketahui. Apa yang kami boleh buat adalah berdoa bermunajat kepada-Nya dan bertawakal berserah hanya kepada Ilahi agar berjaya lulus dalam ujian tersebut.

Pada malam tersebut, ujian gulingan dan lompatan melepasi api pula dijalankan serta pemecahan genting bata dengan menggunakan tangan dan kepala. SubhanaLlah. Sungguh mengkagumkan kami yang melihatnya. Usai semua ujian tersebut, maka tibalah keputusan ujian bengkung yang telah diadakan sejak petang tadi. AlhamduliLlah, kesyukuran dipanjatkan kepada Yang Maha Pemberi Rezeki kerana kami berjaya menaiki warna bengkung dan tidak lupa juga sekalung tahniah kepada semua. 
**Putih Cula -> Hijau Cula**Hijau Cula -> Pra-Merah**

25 Disember 2013 merupakan hari terakhir kami berkursus juga merupakan Hari Keluarga Gayong yang diadakan di Dewan Guar Chempedak. Pelbagai aktiviti sukaneka dan Pertandingan Pendekar Gayong dijalankan, antaranya termasuklah senamrobik, demo silat, pertandingan bola sepak, pertandingan seni tari kreatif, seni tari bunga teratai, tempur silibus dan tempur senjata. 

Pada jam 3 petang diadakan Majlis Perasmian Penutupan Kursus dan penyampaian hadiah. AlhamduliLlah, pesilat Indera Bentara telah memenangi pertandingan seni tari kreatif iaitu kak Mujahidah Mujin dan lebih mengejutkan pabila ana terpilih untuk memenangi pertandingan seni tari bunga teratai (Klip Video) yang baharu sahaja kami pelajari di kursus ini. AlhamduliLlah, rezeki memihak ana pada kali pertama mencuba menyertai pertandingan ini. **Masih banyak yang perlu ana pelajari dan baiki kelemahan gaya seni tari ana** 

Sekali lagi kejutan tercipta apabila pesilat daripada gelanggang Indera Bentara dinobatkan sebagai Pesilat Harapan Keseluruhan iaitu saudara Wira Mohd Jamal, manakala Muhd Nawawi pula dinobatkan sebagai Pesilat Lelaki Terbaik. Kak Hasnoor pula dianugerahkan sebagai Pesilat Wanita Terbaik daripada gelanggang Bentara Setia iaitu jiran kami. **Mabruk ‘alaikum** Terima kasih kami ucapkan kepada Cikgu Azrul yang banyak mengajar kami serta Cikgu Zam daripada GBS yang turut dibantu oleh Cikgu Firdaus (IB), Cikgu Khalim (IB) dan Cikgu Izzat (GBS).

Pada jam 6 petang, kami siap berkemas dan berangkat pulang ke Jitra serta mengucapkan selamat tinggal bumi Gurun yang banyak memberikan kami 1001 ilmu dan kenangan yang tercoret di dada dan ingatan kami semua. Mohon maaf kami hulurkan kepada para Gurulatih andai ada tersilap bicara dan langkah sepanjang menumpang di sana untuk menuntut ilmu warisan ini. Kami harap agar dipanjangkan rezeki untuk kembali ke Gurun selepas ini. 

Kepada akak-akak kursus (kak Zai, kak Mariakak Ayu, kak Afa, kak Yah, kak Mimi, kak Has, kak Mahirah, kak Muja) serta dik Wanie, sekali kalian di hati ini, selama-lamanya tautan hati ini akan kekal mewangi. InsyaAllah. UkhwahfiLlah. Ayuh kita sama-sama memartabatkan kembali warisan pusaka kita kerna ia tidak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan. Kann? :)

Pahlawan berempat di atas pentas,
Berseni langkah dengan gurunya,
Inilah tempat bergerak pantas,
Syabas tahniah buat semuanya.

..........................

Bersabarlah dengan sedikit kesakitan kerana ia bukan melemahkan kita, tetapi ia akan menguatkan kita andai kita berjaya menghadapinya. Tiada apa yang senang dan mudah di dunia ini serta tiada istilah rehat di sini kerana tempat kita berehat ialah di sana dan di sini kita menanam, di sana kita menuai. Semoga Allah sentiasa meredhai kita dan merahmati kita semua. InsyaAllah.. :)

..............

Antara kenangan yang terakam :

Hentian RnR Gurun :)


Padang Guar Chempedak :)

 Padang Latihan Silat di Gurun :)

 Hari Keluarga Gayong 2013 :)


Bersama Gurulatih Gurun :)

Moga Allah memberkati kita semua. Panjang umur, jumpa lagi. Wallahua’lam. Wassalam. J

No comments: