BismiLlahirRahmanirRahim~

Saturday 3 January 2015

Ilmu wudhu'

BismiLlahirRahmanirRahim~

Pak imam dan pak bilal memerhatikan aku berwudhu'.


Selesai. Selepas tiga kali ditegur pak imam dan pak bilal. Mereka suruh ratakan air. Perlahan-lahan jangan gopoh. Air jangan buka kuat sangat. Bahagian yang wajib mesti make sure. Bahagian yang sunat buatlah, jangan tinggal. Semua itu cahaya di akhirat.

Pak imam tanya aku,
"Kau tahu kenapa kami tegur kau sampai banyak kali kau berwudhu'?"

Aku geleng. Pak imam jawab,
"Disebut dalam hadis, "Doa adalah kunci rahmat, wudhu' adalah kunci solat dan solat adalah kunci Syurga.""

"Jadi, selagi kau tak perkemaskan wudhu' kau, selama-lamanya solat kau akan terkunci. Ibarat kau beli motor, tapi tak boleh nak start. So, apa guna motor tu?"

"Ada riwayat mengatakan, Sayyidina Ali r.a. setiap kali berwudhu', wajahnya jadi pucat. Bila ditanya kenapa, dijawabnya, "Sedarkah kamu semua, kelak nanti di hadapan siapakah aku akan berdiri?" Pastinya di hadapan Allah. Andai di hadapan Perdana Menteri pun kita pakai bersih, wangi dan style. Inikan pula depan Allah? Pastinya perlu sangat suci dalam wudhu'."

Aku terangguk-angguk dengar penjelasan pak imam.

Pak bilal mencelah,
"Tahukah kau, ada riwayat mengatakan, di wajah Sayyidina Umar al-Khattab ada dua garisan hitam bekas aliran air mata tangisnya."

Aku terkedu,
"Biar betik?!"

Pak bilal menyambung,
"Wallahu'alam benar atau tidak. Namun jika benar, jadi kau bayangkanlah kau ambil wudhu' ini adalah kerana langkah pertama seusai wudhu'mu, adalah untuk berjumpa Tuhanmu.
Bayangkan kau sekarang sudah di akhirat. Kau tidak punya apa. Hanya kau dan amalan kau. Di depan kau ada Allah dengan Syurga dan Neraka.
Seolah-olah esok nak raya aidilfitri, tapi kau tak punya apa-apa. Tak ada duit langsung, tak mampu langsung beli baju raya, biskut raya. Kau zero di hari raya. Kau lihat orang lain bergembira. Tapi, kau?
Kau bayangkan saja, orang-orang lain Allah berikan keizinan masuk Syurga. "Masuklah, masuklah, masuklah." Tapi, tiba giliran kau, "Syurga diharamkan dari kau sehinggalah seluruh dosa kau terhapus!"

Maka, pada waktu tu, apa perasaan kau?"

Aku terkedu kali kedua.
Lantas memalingkan wajahku ke paip. Berderaian air mata. Patutlah Umar menangis.
Pak imam dan pak bilal pun berpaling ke paip. Mencuci muka.
Padahal mereka pun sama. Berlinang air mata.
Selama ini, tidak pernah ku sangka wudhu' mampu menyentuh jiwa.
Oh! Wudhu'. Rupanya kau ada seribu rahasia.

**JazakaLlah Encik Sederhana atas perkongsian ilmu tentang ilmu wudhu’ ni.

Moga kita semua dapat perhalusi lagi cara kita berwudhu’ agar lebih bertertib dan sempurna. Insya-Allah. Salam mahabbah. <3


No comments: