BismiLlahirRahmanirRahim~

Thursday, 5 June 2014

Semuanya Soal Hati : Hati Emas~

BismiLlahirRahmanirRahim~

Sabda Rasulullah SAW : 
"Allah tidak memandang rupa lahir kamu dan harta kamu tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu." (Riwayat Muslim dan Ahmad)

RasuluLlah SAW menganjurkan kita berdoa : "Ya Allah, sempurnakan akhlakku sepertimana Engkau sempurnakan kejadianku." Secara tidak langsung, doa ini mengajar kita bahawa nilai akhlak jauh lebih penting daripada rupa lahir kita.

Allah Yang Maha Adil tidak meletakkan kebahagiaan kepada rupa, harta, kuasa dan nama. Allah tidak zalim kerana meletakkan kebahagiaan pada ketenangan "hati emas" - hati yang mampu dimiliki oleh si miskin atau si kaya, si buruk atau si jelita dan hamba atau raja.

Di mana akan kita temui hati emas seperti itu? Hati itu ditempa dan disesah oleh mujahadah di jalan Allah. Umpama intan yang dipanaskan oleh haba dengan kepanasan berganda atau emas yang disepuh oleh api yang menyala-nyala, maka begitulah hati manusia. Hanya akan bercahaya oleh siraman keringat, deraian air mata dan aliran darah oleh insan yang bermujahadah di jalan-Nya.



Apabila tiba saat diuji, jangan lari tetapi hadapi. Walau pedih, sedih dan tersisih, jangan mengelak. Bersedia dan hadapi. Terima hakikat, jika hidup sudah terhenyak ke dasar paling bawah, jangan berpura-pura lagi. Jangan terus bermuka-muka. Namun, terimalah hakikat supaya mampu bangun kembali dengan cepat! Sering dikatakan oleh ahli kebijaksanaan, "Jangan dipinta diringankan ujian, tetapi pintalah dikuatkan hati untuk menghadapinya!"

Apabila sudah tiba di dasar yang paling bawah, sudah tentu tidak ada lagi tempat untuk jatuh. Maka ketika itulah peribadi akan naik semula ke atas kerana kita sudah membayar "yuran" untuk kejayaan. Kita sudah merasai kepahitan pada ubat yang ditelan. Itulah ubat hati, yang pahit pedih dan menyakitkan tetapi itulah ubat dan penawar yang akan melegakan.

Saat diuji itulah segala mazmumah akan dimamah. Ego, bangga, rendah diri, kecil hati, kecut, penakut sudah "dibakar" dalam relau mehnah Allah. Dan saat itulah kita layak menerima anugerah. Yakni, bingkisan ijazah daripada "universiti mujahadah". Tiada gelaran, tiada sanjungan ... hadiahnya hanya - HATI EMAS!


Memburu selain-Nya hanya akan mengecewakan. Pergilah setinggi puncak karier, rebutlah setinggi nama, carilah sebanyak harta, tanpa hati emas, kau hanya akan meninggikan tempat jatuh. "Berjaya" tanpa keperibadian yang kukuh hanya mendedahkan diri kepada lebih banyak stres dan kebosanan. Tidak ada jalan dan ikhtiar lagi kecuali kembali kepada Allah. Perkukuhkan solat lima waktu dengan sunat rawatib. Luangkan dan lapangkan masa dengan membaca al-Quran dan berselawat. Kurangkan makan dan lisan. Bercakap hanya yang baik atau diam.

Uzlahkan diri jika terasa mata dan telinga terlalu liar untuk ditundukkan. Tersenyumlah dengan penghinaan. Redhalah dengan kesepian. Jangan takut akan kelicikan, tipu daya dan kezaliman. Hayatilah sebuah sabda, "Jika kita menjaga Allah, Allah akan menjaga kita". Tidak mengapa jika dipinggirkan, malah dilupakan sekalipun ... kerana selamanya orang lain tidak akan tahu, betapa lapang dan bahagianya apabila memiliki hati emas itu!



Semoga  saya menulis segala-galanya dari hati, dan semoga segala-galanya itu juga tertumpah ke dalam hati para pembaca. Saya bukanlah insan yang baik, tetapi insyaAllah sedang berusaha ke arah itu dengan cuba menabur sebanyak-banyak kebaikan melalui tulisan. InsyaAllah, semoga Allah mengurniakan taufik dan hidayah-Nya agar kita sentiasa berhati-hati menjaga hati termasuk semasa membaca buku "Semuanya Soal Hati" ini. Amin.. :)

|Pahrol Mohamad Juoi|


Jaga Hati. Jaga Iman. Jaga Diri. 

Fii HifziLlah <3

Moga kita semua senantiasa berada dalam pelukan kasih sayang Allah, Yang Maha Penyayang~ 

Wallahua'lam. Salam Mahabbah :)

Tuesday, 3 June 2014

Resepi : Kek Puding Karamel Pelangi

BismiLlahirRahmanirRahim~

Ehem ehemm.. Projek 'Kuali Menari, Periuk Terbang' yang pertama untuk cuti semester kali ini sudah selamat dilancarkan semalam. AlhamduliLlah~

Taraaa~ Hasilnyaaaa..marvelous...umphhh.. (",)

Terima kasih diucapkan pada Kak Da (sepupu) yang mengidam kek ni dan juga Syahirah (sepupu) selaku pembantu dapur yang diimport khas dari Thailand. Hhehe :P

Resepi ni ana rujuk pada E-na Lovely Kitchen :)

Bahan-bahan untuk Gula Hangus :
- Loyang 8 inci / 20cm
- 2 sudu besar gula


Cara-cara :
1. Masukkan gula ke dalam loyang.
2. Panaskan dengan api perlahan di atas dapur.
3. Biarkan sehingga gula cair sehingga bewarna kuning keemasan.
4. Apabila semua gula sudah cair, tutup api dan ratakan air gula memenuhi dasar loyang. 
5. Ketepikan dan sediakan pula adunan puding. Air gula akan mengeras dan biarkan sahaja. Gula ini akan cair apabila dibakar bersama dengan adunan puding dan kek nanti.

Bahan-bahan untuk Puding :
- 400ml fresh milk / susu cair
- 3 biji kuning telur (Putih telur masukkan terus ke dalam mangkuk pengadun untuk meringue nanti)
- 2 biji telur
- 140 gram gula kastor
- 1 sudu kecil esen vanila

Cara-cara :
1. Asingkan 3 biji putih telur dan kuning telur. Masukkan 3 kuning telur di dalam mangkuk kecil dan 3 biji putih telur ke dalam mangkuk pengadun untuk bahan kek adunan 1 (meringue) nanti.
2. Masukkan 2 biji telur ke dalam mangkuk telur kuning dan kacau perlahan-lahan supaya tidak berbuih.
3. Kemudian, satukan telur dan semua bahan-bahan di atas ke dalam mangkuk besar. Kacau perlahan-lahan supaya tidak berbuih.
4. Apabila semua sebati, tapiskan ke dalam loyang gula hangus tadi.
5. Semasa memasukkan bancuhan puding, gula hangus akan berbunyi seperti kaca pecah.
6. Adunan ini tidak perlu dibakar terlebih dahulu. Ketepikan. Sediakan pula lapisan untuk kek bahan 1 (meringue).

1-Fresh Milk
2-Kuning Telur
3-Adunan Puding
4-Adunan Meringue


Bahan-bahan untuk Kek :

Adunan 1 (Meringue) :
- 6 biji putih telur (3 biji putih telur dari bahan puding + 3 biji putih telur baru)
- 70 gram gula kastor
- 1 sudu kecil cream of tar tar

Cara-cara :
1. Pukul putih telur sehingga berbuih.
2. Masukkan gula kastor dan cream of tar tar.
3. Pukul lagi dengan kelajuan yang tinggi sehingga kental dan kaku.
4. Apabila mangkuk pengadun diterbalikkan, adunan tidak tumpah.
5. Ketepikan. Gunakan mixer yang sama untuk membuat adunan 2 untuk kek.


Adunan 2 :
- 3 biji kuning telur (kuning telur daripada bahan meringue tadi)
- 130 ml air
- 50 ml minyak jagung
- 70 gram gula kastor
- 140 gram tepung naik sendiri

Cara-cara :
1. Ayak tepung naik sendiri. Ketepikan.
2. Pukul kuning telur, air dan minyak jagung sehingga putih dan gebu.
3. Masukkan gula kastor dan pukul lagi sehingga kembang.
4. Matikan mixer.
5. Kemudian, masukkan tepung sedikit demi sedikit. Kacau dengan senduk kayu secara kaup balik sehingga semua bergaul sebati.
6. Masukkan separuh adunan 1 (meringue) ke dalam adunan 2. Kaup balik perlahan-lahan. Kemudian amsukkan semua adunan 1 dan kacau secara kaup balik.
7. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian sama banyak.
8. Sudukan ke dalam loyang puding tadi. Adunan kek akan terapung di atas adunan puding.
9. Sudukan 3 sudu besar adunan biru, diikuti 3 sudu besar adunan merah di tengah adunan biru, dan 3 sudu besar adunan hijau di tengah adunan merah. Ulang turutan yang sama sehingga adunan habis.
10. Panaskan oven 160 darjah. (Panaskan sekali dengan tray oven yang ada air untuk double boiler nanti)
11. Bakar secara double boiler selama 50 minit atau sehingga kek dan puding masak di rak paling bawah dalam oven.
12. Setelah masak, biarkan seketika sehingga keliling kek lekang daripada loyang dan kemudian terbalikkan ke atas pinggan.
13. Segera lap lebihan air gula yang meleleh di atas puding secara perlahan dan berhati-hati agar kek tidak basah.
14. Potong kek semasa benar-benar sejuk dan hidangkan. Sedap dimakan selepas disejukkan di dalam peti sejuk. **Yummy**


TIPS TAMBAHAN UNTUK KEK PUDING KARAMEL PELANGI DARI LOVELY KITCHEN :
- Kek akan basah jika terlalu banyak air gula. Jadi sebaiknya minimakan penggunaan gula untuk gula hangus. Boleh guna 1 setengah sudu besar gula sahaja jika tidak mahu air gula meleleh banyak semasa proses terbalikkan kek.
- Kacau adunan puding perlahan-lahan jangan sampai berbuih termasuk kuning telur ke dalam adunan putih telur walaupun sedikit. Jika bercampur dengan kuning telur, meringue tidak akan menjadi. Kesannya kek tidak naik dan tidak gebu. Pastikan semua peralatan untuk meringue kering dan tidak berminyak.
- Segera lap air gula yang turun semasa terbalikkan kek. Sebolehnya jangan biarkan kek dibasahi dengan air gula supaya kek kering dan cantik semasa dipotong.


<3 Selamat Mencuba <3