BismiLlahirRahmanirRahim~

Thursday, 12 December 2013

Saatnya Menunggu Lafaz Sakinah~





BismiLlahirRahmanirRahim~
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang ~
Assalamualaikum w.b.r. :)

-PerkongsianArtikel-


 Lafaz Sakinah
Lafaz Sakinah | waiting….by ~thresca
Menjejak usia ke 20 an, tidak lari dan tidak lain tidak bukan, soalan yang pasti kedengaran, “bila lagi giliran awak?” “awak dah berpunya ke?” “bila lagi nak makan nasi minyak”.
Huh. Persoalan tentang perkahwinan. Pelbagai jenis bentuknya.
Pasti. Peluh besar.
Sejak akhir-akhir ini juga kita sering di dedahkan dengan berita-berita mereka yang bertemu jodohnya awal di laman-laman sosial. Khususnya facebook.
Lagi bertambah-tambah ujiannya apabila tidak ketinggalan apabila ada antara yang menjadi pemerhati di situ mempunyai keinginan untuk mengikut jejak langkah, walaupun tidak berkemampuan lagi.
Perasaan cemburu dengan melihat kebahagian orang lain dalam perkahwinan pastinya bukan sesuatu yang asing. Nak-nak lagi apabila suka untuk dihebahkan perihal indahnya bercinta selepas perkahwinan.
Bukanlah menjadi kesalahan sebenarnya. Kerana itu mungkin hak privasi mereka yang suka untuk berkongsi dengan masyarakat umum.
Nasihat buatku juga untukmu..
Bersabarlah dalam menunggu waktu bahagia kita.
Kerana sampai saatnya kita juga akan menempuhinya. Cuma bila dan di mana, sampai saatnya ini tetap menjadi rahsia Dia Yang Maha Agung kerana Dia ingin kita ‘membina’ diri kita selengkapnya sebelum menjejaki ‘alam’ yang indah itu.
Bersangka baiklah denganNya Yang Maha Pengasih. Dia belum izinkan untuk kita berada dalam ikatan yang suci bersama pasangan yang kita nikahi kerana Dia ingin kita bercinta denganNya secara eksklusif tanpa gangguan daripada sesiapa.
Dia ingin kita menghabiskan waktu-waktu malam kita yang sunyi dengan hanya merintih dan berkasih padaNya yang satu tanpa gangguan dari sesiapa.
Ingatkah kita tentang ayat ini :
 Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala Yang besar. [64:15]
Dikhuatiri sekiranya kita belum lagi siap membina diri kita, kita tidak mampu membina keluarga yang sakinah dan mawaddah. Nikmatilah masa ‘single’ ini sepuasnya untuk kita memperbaiki iman.
Bagaimana mahu menjadi imam, jika solat pun kita sering lengahkan?
Bagaimana mahu menjadi tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia, andai pengurusan jadual kehidupan dan diri sendiri pun masih tunggang terbalik?
Tidak cukup lagi. Ada lagi masalah emosi yang perlu dibaiki. Kehidupan berumahtangga itu menemukan antara dua jiwa. Mekah dan Madinah.
Bagaimana kita mahu bertindak menjadi isteri dan suami yang soleh dan solehah andai emosi diri dan pemikiran kita juga masih berada dalam tahap yang tidak bisa di kawal?
Ketap bibir.
Nak lagi?
Bagaimana pula tanggungjawab kita dengan ibu bapa kita sendiri? Sudah tertunaikah semuanya? Bersangka baiklah dengan Allah Yang Maha Alim.
Dia inginkan kita yang masih ‘single’ ini untuk terus berbakti kepada kedua ibu bapa kita tanpa perlu memikirkan perihal yang lain. Bukankah apabila kita memudahkan urusan kedua ibu bapa kita, Allah juga akan mudahkan urusan kita?
Sampai saatnya, Allah pasti akan gantikannya dengan rezeki perkahwinan kita.
Ada lagi?
Ya. Masalah umat. Sebarkanlah dakwah. Infakkanlah diri kita dalam jalan dakwah. Dengan kita mengajak orang lain amar makruf nahi munkar, harap-harapnya akan menjadi satu saham yang dinilai oleh Allah di sana nanti.
Allah berfirman : Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
Di harapnya dengan pertolongan kita di jalan Allah, Allah juga akan menolong kita dalam urusan jodoh kita. Percayalah, apabila kita berusaha bersungguh dalam medan dakwah ini. Kita jatuh cinta. Cinta pada si dia akan hadir kemudiannya.
Ini adalah hadiah buat hati yang sedang menunggu saat lafaz sakinah.
Bersabarlah. Kerana Allah tidak pernah beri sesuatu yang bukan pada tempatnya. Sampai saatnya nanti kita juga pasti mampu tersenyum bersama memandang bulan dan bintang bersama si dia yang halal.
Hadiah. Untukmu.
lafaz sakinah

lafaz sakinah | lafaz sakinah |
Credit to : ISLAM Dan Blog Aku ISLAM :) 

Saturday, 2 November 2013

Hak Dan Kewajipan Seorang Muslim~

BismiLlahirRahmanirRahim~
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang ~
Assalamualaikum w.b.r. :)


Daripada Abu Hurairah r.a., sesungguhnya Nabi S.A.W. telah bersabda : “Hak seorang muslim terhadap muslim yang lain ada enam. Sahabat bertanya : “Apakah dia wahai Rasulullah?”. Jawab baginda : “Apabila engkau berjumpa dengannya, berilah salam. Apabila dia menjemput ke rumahnya, hendaklah engkau terima (jemputan). Apabila dia meminta nasihat, berilah nasihat kepadanya. Apabila dia bersin lalu memuji Allah dengan ‘AlhamduliLlah,’ maka doakanlah dia dengan ‘yarhamukaLlah’. Apabila dia sakit, ziarahilah. Seterusnya, apabila dia meninggal dunia, iringilah jenazahnya ke kubur.”                                                                                       (Hadis Riwayat Muslim)

****************************

Pengertian hak terhadap muslim yang lain ialah kewajipan yang mesti dipelihara dan diamalkan oleh setiap muslim bagi menjaga keperibadiannya serta bagi melahirkan masyarakat Islam yang bersaudara selaras dengan firman Allah S.W.T. :

"Innama almukminuna ikhwah"
(Surah Al-Hujurat : Ayat 10)

Apabila Bertemu, Ucapkanlah Salam
Memberi salam adalah satu cara penghormatan yang diamalkan antara sesama Islam apabila bertemu. Hukum memberi salam ialan sunat muakkad, sementara menjawabnya adalah wajib.


Allah S.W.T. berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 86, yang bermaksud :
“Dan apabila kamu dihormati dengan suatu (salam) penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan lebih baik, atau balaslah (penghormatan itu, yang sepadan) dengannya. Sungguh, Allah memperhitungkan segala sesuatu.”

Aturan memberi salam
>Orang yang berkenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan kaki. Orang yang berjalan memberi salam kepada orang yang duduk. Kumpulan yang sedikit memberi salam kepada kumpulan yang ramai. 
Dan orang yang muda memberi salam kepada orang yang lebih tua.<

Memenuhi Jemputan (Undangan)
Antara kad jemputan yang biasa kita dapat :)

Apabila seseorang mukmin mengundang kita ke majlisnya, hendaklah kita hadiri majlis itu sekiranya majlis itu bertujuan baik, seperti majlis ta’aruf, majlis perkahwinan atau seumpamanya. Hal ini adalah salah satu jalan untuk merapatkan hubungan persahabatan, memupuk sifat jujur dan menggalakkan kerjasama dalam melakukan kebaikan.

Memberi Nasihat
Apabila seseorang mukmin meminta nasihat atau pertolongan sama ada pertolongan itu berupa wang ringgit atau buah fikiran bagi menyelesaikan kesulitan yang dihadapinya, maka wajiblah diberikan bantuan mengikut kemampuan kita. Hal ini seiring dengan dengan firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-’Asr, ayat ke-3 yang bermaksud “Berilah nasihat dengan kebenaran dan kesabaran”.



Saling Mendoakan Ketika Bersin

“Jika salah seorang di antara kalian bersin, hendaklah ia mengucapkan ‘Alhamdulillah’, jika ia mengatakannya maka hendaklah saudaranya atau temannya membalas : ‘yarhamukallah’ (semoga Allah merahmatimu). Dan jika temannya berkata ‘yarhamukallah’, maka ucapkanlah: ‘yahdikumullah wa yushlihu baalakum’ (semoga Allah memberimu petunjuk dan memperbaiki keadaanmu).”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no. 6224 daripada Abu Hurairah r.a.)


Menziarahi Orang Sakit
Apabila seseorang mukmin itu sakit hendaklah kita menziarahinya. Ziarah-menziarahi adalah amalan baik dan digalakkan kerana boleh merapatkan hubungan persahabatan dan persaudaraan. Amalan ini perlu dilakukan bukan sahaja semasa sakit bahkan semasa sihat. Ziarah ketika sakit adalah tanda simpati yang dapat mewujudkan suasana baik serta boleh memberi kekuatan dan ketenangan jiwa kepada pesakit.



Mengiringi Jenazah
Daripada Abi Sa’id Al-Khudri r.a., Nabi S.A.W. bersabda : “Hendaklah kamu menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah, itu akan mengingatkan kamu tentang akhirat.”          (Hadis Riwayat Ahmad)

 (Perkuburan Baqi' di sebelah kiri Masjid Nabawi, Madinah)

***********
Pengajaran Hadis :
                Semua enam kewajipan tersebut perlu diambil berat oleh setiap orang Islam dan wajib diamalkan supaya dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai semangat saling membantu, mengambil berat dan sanggup berkongsi masalah demi kebahagiaan dan kesejahteraan hidup umat Islam.

--------------Kita sama-sama hayati dan selamat beramal-------------

Wallahua’lam. Wassalam <3


Sumber Rujukan : Buku Sukatan Usrah Badar :)