BismiLlahirRahmanirRahim~
Dengan Nama ALLAH
Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang ~
Assalamualaikum w.b.r.
:)
“Tidak ada enaknya kehidupan
dunia ini kerana intinya berisi ingatan
akan usia tua dan mati.”
(Syair Arab)
Daripada
Ibn Umar r.a. beliau berkata, bahawa Rasulullah memegang belakang beliau lalu bersabda
:
Maksudnya
: “’Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing atau pengembara.’ Lalu
Ibn Umar r.a. berkata : ‘Jika engkau telah berada di waktu petang, maka
janganlah dinantikan waktu pagi. Jika engkau berada di waktu pagi, maka
janganlah dinantikan waktu petang. Pergunakanlah waktu sihatmu sebelum sakit
dan waktu hidup sebelum mati.’”
(Riwayat al-Bukhari no 6416 dan al-Tirmizi no. 2333)
HURAIAN DAN INTI SARI
Hadis
ini mencakupi pelbagai jenis kebaikan dan nasihat. Kandungan hadis ini sebagai
tapak untuk tidak terlena di dunia kerana setiap Muslim tidak sepatutnya
menjadikan dunia ini sebagai tempat tinggal yang abadi.
Jangan bersifat tamak dan berlebih-lebihan.
Ambillah hanya sekadar keperluan sahaja. Itu pun untuk menjadi bekalan dalam
perjalanan menuju ke akhirat.
Imam Abul Hassan ‘Ali bin Khalaf dalam Syarah
Bukhari berkata bahawa Abu Zinad berkata :
“Hadis ini bermakna menganjurkan agar sedikit bergaul dan
sedikit berkumpul dengan orang-orang awam bersikap zuhud kepada dunia.”
Abul Hasan berkata :
“Maksud
dari hadis ini ialah orang asing biasanya sedikit berkumpul dengan orang lain
sehingga dia terasing daripada mereka, kerana hampir-hampir dia hanya berkumpul
dan bergaul dengan orang-orang ini saja. Dia menjadi orang yang merasa lemah dan takut.”
“Begitu
pula seorang pengembara, dia hanya mahu melakukan perjalanan mengikut kekuatannya. Dia hanya membawa beban
yang ringan agar dia tidak dibebani untuk menempuh perjalanannya. Dia hanya
membawa bekal dan kenderaan yang diperlukan untuk mencapai tujuannya.
Hal
ini menunjukkan bahawa sikap zuhud
terhadap dunia dimaksudkan untuk dapat sampai kepada tujuan dan mencegah
kegagalan, seperti halnya seorang pengembara yang hanya membawa bekal
sekadarnya agar sampai ke tempat yang dituju.
Begitu
pula halnya dengan seorang Mukmin dalam kehidupan di dunia ini hanyalah
memerlukan sekadar bekal untuk
mencapai tujuan hidupnya.”
PENGAJARAN
1. Ada ketikanya Rasulullah SAW menyentuh anggota badan
orang yang dinasihati ketika menyampaikan amanat atau ilmu. Kaedah ini harus
digunakan oleh para pendidik.
Ibn Mas’ud berkata, “Rasulullah SAW telah mengajarkan
kepadaku cara bertasyahud, sambil memegang tapak tanganku.”
2. Dunia ini sementara
dan akhirat itu kekal abadi. Firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 185 yang
bermaksud :
“Tiap-tiap yang
bernyawa akan merasai mati.”
Namun tiada seorang
pun yang akan mengetahui ajal mautnya.
3. Dunia hanyalah jambatan yang akan menghubungkan kita ke
akhirat. Allah berfirman dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 185 yang bermaksud :
“Kehidupan dunia ini
tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya.”
4. Gunakan kesempatan masa hidup untuk berbakti kepada Allah
SWT. Rasulullah SAW bersabda :
“Manfaatkan lima perkara sebelum datang lima perkara yang
lain : Masa muda sebelum masa tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin,
masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati.”
(Riwayat al-Hakim daripada Ibn Umar r.a.)
5. Hendaklah segera melakukan kebaikan, banyak melakukan ketaatan
dan jangan menunda pekerjaan.
6. Berzuhudlah terhadap dunia dalam ertikata bukan meninggalkan usaha
tetapi berwaspada terhadap dunia agar tidak melupakan akhirat.
7. Bersungguh-sungguh melakukan amal soleh dan sentiasa takut dengan azab
daripada Allah SWT.
8. Berwaspada terhadap orang yang berperilaku buruk.
9. Perbuatan yang bersifat duniawi wajib dilakukan jika mahu memenuhi keperluan untuk
mendapatkan akhirat.
10. Kita hendaklah bersikap profesional di antara dunia dan di akhirat.
………………………………………………………………………
Tinta Qalam : sudah tercatat dalam Surah Ar-Rum, ayat 64
yang bermaksud :
“Dan kehidupan dunia
ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah
kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui.”
Maka, jelaslah bahawa dunia ini tempat kita untuk
menanam, dan akhirat itu tempat kita menuai hasilnya. Berpenat lelah di dunia
bagi menjamin kesenangan di akhirat yang abadi. Moga Allah Redha :)
WASSALAM~
Sumber : Buku Hadis 40 Imam Nabawi ^^
No comments:
Post a Comment