BismiLlahirRahmanirRahim~
Assalamu'alaikum dan Salam Gayong Semua :)
Seni silat adalah sejenis ilmu bela diri yang diakui umum sebagai hak asli
kepunyaan bangsa Melayu sebagai perisai diri. Berdasarkan bukti penemuan
tinggalan sejarah yang terdapat di Candi Borobodur dan Candi Prambanan di Jawa,
dapatlah disimpulkan bahawa sudah wujud seni mempertahankan diri ini di kawasan
kepulauan Melayu pada abad ke-8 Masihi.
Bermula
dari kepulauan Riau, sistem bela diri ini dikatakan merebak ke Minangkabau,
Sumatera. Di Sumatera, seni pertempuran ini diperhalusi lagi dan dikenali
sebagai Pencak Silat. Ilmu silat ini pernah digunakan oleh kerajaan Srivijaya
(abad ke-7 hingga abad ke-14) untuk memperluaskan empayarnya. Pada zaman
kekuasaan Majapahit (abad ke-13 hingga abad ke-16), ilmu silat dikatakan telah
mencapai kemuncak kesempurnaannya apabila penggunaan senjata disertakan.
Dari
Minangkabau, silat diperkenalkan di Semenanjung Tanah Melayu melalui Melaka.
Dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka, hanya golongan yang rapat dengan istana
sahaja diberikan peluang untuk mempelajari silat.
Seni
silat ini akhirnya sampai ke pengetahuan rakyat jelata dan seterusnya menjadi
suatu kesenian desa. Laksamana Hang Tuah (Bapa Persilatan Melayu) dikatakan
mempelajari seni silat daripada Sang Adi Putera di Gunung Ledang dan Sang
Persanta Nala di Pulau Jawa (Majapahit).
Untuk
menyempurnakan ilmu silat pengamal mestilah menghayati falsafah yang terkandung
di dalam ilmu tersebut. Pada zaman dulu hampir kesemua orang mengamalkan silat.
Tetapi cuma beberapa yang layak digelar pendekar. Hanya mereka yang mempunyai
keutuhan akhlak dan berhemah tinggi mampu mencapai tahap ini.
Pada
zaman ini wujud beratus-ratus perguruan silat. Setiap perguruan mempunyai gaya
dan caranya yang tersendiri. Tetapi umumnya asas silat ini boleh dibahagikan
kepada dua iaitu ‘bunga’ dan ‘buah’. Seni bunga adalah gerak tari yang lembut
dan gemalai sebagai gerak untuk mengelirukan lawan.
Manakala
buah pula adalah gerak langkah yang keras, padu dan padat untuk menumpaskan
lawan. Tetapi ada perguruan yang tidak menghiraukan seni bunga dan hanya
mengajar buah, contohnya seperti Silat Cekak. Anak muridnya dikehendaki berdiri
tegak menghadapi lawan, pukul balas digunakan hanya ketika diserang dan itupun
apabila pukulan sudah berada seinci dua dari badan.
Seni
Silat Gayong dibawa ke Tanah Melayu (Malaysia) oleh seorang
putera Bugis dari Kepulauan Sulawesi bernama Daeng Kuning atau digelar Panglima
Hitam. Beliau bersama-sama dengan enam saudaranya bermastautin di Tanah Melayu
di mana segala ilmu persilatan diturunkan kepada keturunannya.
Pada masa
ini pecahan ilmu tersebut boleh dilihat dengan wujudnya pelbagai perguruan
gayong di Malaysia seperti Gayong Patani dan Gayong Pesaka. Tapi yang paling
utama ialah Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) yang diasaskan oleh
Dato’ Meor Rahman, cucu kepada Daeng Kuning yang digelar ‘Mahaguru’ oleh
penuntut silat gayong. Antara mereka yang pernah mengamalkan silat gayong ialah
allahyarham Mat Kilau, Dato’ Bahaman dan Dato’ Maharaja Lela.
Maksud Disebalik Perkataan Gayong
Pada
zaman silam, hanya individu tertentu sahaja yang dapat menamatkan pengajian
silat mereka dengan sempurna. Mereka ini sebenarnya telah memiliki sifat-sifat
terpuji dan keikhlasan yang tinggi sehingga sanggup berkorban untuk agama,
bangsa dan negara tanpa mengutamakan kepentingan diri sendiri.
Sifat ini
kemudiannya menjadi semakin subur dan terpimpin apabila mereka mendalami
pelajaran dan falsafah seni silat. Bagi mereka yang belum mempunyai kualiti
sedemikian, melalui seni silat mereka dididik dan diasuh sehingga mencapai
tahap tersebut.
Perguruan
seni silat pada hakikatnya ialah satu institusi pendidikan di mana manusia
dibentuk dan dilentur untuk memiliki ketahanan mental dan fizikal yang
maksimum. Pendekatan pendidikan seni silat sebagaimana yang diterangkan di atas
merupakan kaedah yang utama oleh Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia.
Sesungguhnya,
falsafah pendidikan Silat Seni Gayong sejak dahulu lagi dirangka sebegitu rupa
untuk melahirkan satu generasi yang berhemah tinggi dan berwawasan bagi
memelihara kesucian agama Islam serta memimpin bangsa dan negara ke arah
matlamat yang diredhai Allah S.W.T. Teras pendidikan Silat Seni Gayong pada
dasarnya telah disimpul dalam kalimah Gayong itu sendiri:
Ga – Genggam
Berpegang kepada janji setia dan ikrar yang telah dilafazkan. Juga
bermaksud menjaga segala rahsia dan amanat yang diberikan.
Alif – Angkat
Meletakkan dan menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan dan
tempat rujukan.
Ya – Yakin
Yakin kepada kebolehan diri sendiri
Wau – Waras
Membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum bertindak.
Nga – Ngeri
Bersungguh-sungguh dalam segala perbuatan. Dalam konteks latihan dan
persembahan, kesungguhan ini digambarkan dalam kengerian orang lain yang
menyaksikannya.
Lima
huruf diatas juga melambangkan lima prinsip asas yang menjadi rukun atau teras
agama Islam iaitu mengucapkan dua kalimah Syahadah, menunaikan sembahyang
fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di
Mekah. Lima huruf yang membina kalimah Gayong itu juga menekankan bahawa
seorang murid Gayong itu mestilah menjaga kewajipan mereka sebagai seorang
Muslim dengan menegakkan tiang agama iaitu menunaikan sembahyang fardhu lima
kali sehari semalam.
Pada
hakikatnya, kekuatan seorang murid Gayong terpancar daripada keupayaan
melaksana segala titah perintah Allah S.W.T. dan menjauhi segala laranganNya.
Apabila wujud segala sifat, penghayatan beserta amalan dalam konsep yang
disebutkan diatas barulah dianggap seorang murid Gayog itu benar-benar menuntut
dan mendalami ilmu Silat Seni Gayong.
Cita-Cita
Dan Dasar Silat Gayong
Seni
silat ialah satu seni yang terhasil daripada kepintaran bangsa Melayu.
Penekanan pembelajaran silat seni dalam masyarakat Melayu adalah sejajar dengan
seruan Allah S.W.T. dalam Surah Ar-Ra’d supaya umat Islam bersiap sedia
menghadapi musuh dengan kadar kekuatan yang termampu. Ini merupakan cita-cita
dan dasar utama Silat Seni Gayong yang meletakkan agama di tempat yang Maha
Tinggi.
Silat
Seni Gayong sebagai salah satu daripada seni silat Melayu tertua telah terbukti
mampu menjadi wadah untuk mempertahankan akidah dan maruah umat Islam. Hakikat
ini dinilai melalui coretan sejarah negara kita yang pada suatu ketika dahulu
dijajah oleh kuasa asing. Pergerakan para pahlawan Silat Seni Gayong seperti
allahyarham Mat Kilau, Dato’ Bahaman, Tuk Zainal, Dato’ Maharaja Lela dan ramai
lagi pejuang kemerdekaan tanahair telah berjaya membataskan penguasaan pihak
penjajah dalam politik dan sosio-budaya penduduk tempatan.
Pejuang
kemerdekaan tanahair tersebut merupakan pemimpin agama yang lazimnya menjadi
teras kepimpinan tradisi masyarakat Melayu zaman dahulu. Mereka dimuliakan dan
disanjungi bukan semata-mata keilmuan tinggi dalam bidang keagamaan, bahkan
semangat perjuangan dan sifat kependekaran yang dimiliki beserta sikap yang
tegas dalam menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran.
Kini
Silat Seni Gayong ialah satu warisan bangsa yang diajar kepada waris generasi
sebagai alat pendidikan dan pembentukan disiplin dalam rangka menjamin
kesejahteraan masyarakat dan negara. Ia mestilah dipelihara agar bangsa kita
dapat menghargai warisan nenek moyang dan seterusnya menghayati makna sebenar
sebuah kemerdekaan.
Namun
begitu, cita-cita dan dasar asal pergerakan Silat Seni Gayong tidak harus luput
ditelan perubahan. Ia mesti terus dan sentiasa dipupuk dalam jiwa anak-anak
gayong agar segala apa yang diperjuangkan akan mendapat ganjaran dan keberkatan
daripada Allah S.W.T.
Makna
Lambang Silat Gayong
Lambang
atau logo Silat Gayong diilhamkan oleh Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman dan
telah dilukis oleh Pendita Za’ba di Singapura. Lambang yang menjadi lencana
atau terpapar pada dokumen rasmi dan sijil Silat Gayong mempunyai makna dan
pengertian tertentu.
BULAN DAN BINTANG
Melambangkan
agama Islam dan syiarnya berada di puncak dunia. Silat Gayong meletakkan agama
di tempat yang paling tinggi sebagai penyuluh hidup. Ia juga melambangkan agama
Islam menjadi teras perguruan persilatan ini.
BUMI
Menunjukkan
bahawa Silat Seni gayong akan berkembang ke seluruh dunia khasnya untuk semua
muslim.
BEJANA AIR
Simbolik
kepada universaliti ilmu Silat Seni Gayong. Apa yang didapati atau dilihat pada
senibela diri lain samada tempatan atau luar negeri telah wujud dalam Silat
Seni Gayong. Silat Seni Gayong ialah ilmu persilatan asli yang tidak diciplak
dan boleh ditimba sentiasa umpama air yang tidak akan putus. Ia juga
melambangkan kesatuan hati dan bulat kata kerana sepakat. Bak kata pepatah
Melayu, “ Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana sepakat ”. Murid Gayong
mestilah berpadu untuk menegakkan yang hak.
HARIMAU
Melambangkan
keberanian dan kepahlawanan di darat. Ia menonjolkan identiti atau corak
pelajaran Silat Seni Gayong yang diasas dari sifat dan ketangkasan seekor
harimau. Resam harimau menyembunyikan kukunya, di kala tertentu sahaja ia akan
menzahirkan kekuatan dan ketajaman cengkaman kukunya yang boleh mematah dan
membunuh mangsanya dalam beberapa saat sahaja.
NAGA
Menunjukkan
bahawa Silat Seni Gayong bukan sahaja boleh diguna di darat, bahkan juga di
dalam air. Logo naga ini dipercayai telah dihadiahkan oleh Maharaja China
kepada Allahyarham Dato’ Laksamana Hang Tuah atas keberanian dan kehandalannya
semasa melawat negeri China dahulu. Naga juga merupakan simbol yang berkaitan
dengan proses kelahiran Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman sendiri. Kedudukan
naga yang melingkungi dunia di mana kepalanya hampir bercantum dengan ekor
melambangkan ilmu Silat Seni Gayong akan terkenal ke seluruh dunia.
KERIS BERSILANG
Simbolik
kepada semangat Laksamana terbilang melayu, Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang
Jebat mati sewaktu menjadi Laksamana. Jawatan Laksamana tidak diambil semula
oleh Hang Tuah selepas kematian Hang Jebat. Keris dalam lambang tersebut adalah
keris Tamingsari yang pernah digunakan oleh kedua-dua laksamana tersebut. Keris
yang merupakan salah satu pelajaran yang diajar kepada murid Gayong adalah satu
lambang senjata asli bangsa Melayu. Ini membuktikan Silat Seni Gayong adalah
silat melayu seni warisan bangsa yang asli dan tulen.
PEDANG BERMATA DUA
Melambangkan
pedang Zulfakar kepunyaan Saidina Ali r.a. yang terukir kalimah suci dari Al –
Quran bermaksud “Kemenangan daripada Allah dan kejayaan yang hampir” di
sepanjang mata pedang tersebut. Ia bertujuan mengenang kembali perjuangan para
sahabat menegakkan Islam di zaman Jahilliyah.
HITAM CHULA VII
Melambangkan
Bengkung Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti Gangga Negar, bengkong peribadi
Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman bin Tengku Daeng Uda Mohd Hashim, Mahaguru
Silat Seni Gayong. Di sebalik lambang tersebut, ia bermaksud Silat Seni Gayong
bersendikan adat, adatlah yang mengawasi perjalanan Silat Seni Gayong. Tanpa
adat, Silat Seni Gayong akan hilang kedaulatan. Oleh itu, menjadi kewajipan
semua murid Gayong untuk mempertahankan adat agar hala tuju dan matlamat Silat
Seni Gayong tidak diselewengkan.
sumber
: http://www.radioinformasi.com
No comments:
Post a Comment