BismiLlahirRahmanirRahim~

Monday, 10 June 2013

Deruman Mesin, Simen, Batu & Kehidupan~

Tengahari itu matahari memancar dengan sangat terik. Bahangnya sangat kuat. Peluh keluar sesuai dengan keringat yang dicurahkah. Rasanya begitu enak kalau dapat minum air bersama ais. Tapak pembinaan itu sungguh bising. Bunyi deruman mesin disamping jeritan-jeritan pemantau kontraktor menambah lagi kebisingan di kawasan pembinaan itu.
Dari tingkat atas pembinaan, seorang pemudasedang tekun menyapu simen pada dinding bangunan baru yang sedang dibina. Setelah penat, dia berhenti sekejap. Memandang dengan asyik pekerja di bawah yang sedang bertungkus lumus sedang mencampurkan adunan simen. Masing-masing sibuk dengan tugasan masing-masing dek mencari sesuap rezeki.
Matanya tiba-tiba berhenti pada sesuatu. Dia dapat melihat sebatang besi besar telah hampir untuk jatuh dari atas. Dia perlu cepat bertindak memberitahu orang di bawah sana. Jika tidak, tentu ada yang tercedera. Bencana di tempat pembinaan bukanlah boleh di buat main-main. Terleka sahaja, ia mungkin mengundang maut. Dia cuba menjerit dengan kuat dari atas. Tetapi jeritannya itu ditenggelami oleh bunyi deruman mesin. Nyata dia tewas. Suaranya tidak berjaya menarik perhatian orang di sana.
Lantas dia mendapat idea. Dikutip beberapa batu yang terdapat dalam adunan simen itu. Dibalingkan batu itu kepada rakannya yang berada di bawah. Batu yang mengena kepala mereka membuatkan mereka memandang ke atas. Mesej dapat disampaikan. Malapetaka dapat diselamatkan.
-----------------------------------------------------
Kisah yang dikongsikan merupakan analogi tentang kehidupan kita. Pekerja di bawah adalah umpama kita. Pekerja yang di atas adalah tuan kita dan manakala batu yang dilemparkan itu adalah ujian, atau kesakitan atau malapetaka.
Kehidupan kita sentiasa sibuk. Seperti mana bunyi mesin itu, kehidupan kita tidak pernah sunyi dan tidak pernah habis dengan urusan dunia. Sibuk dengan urusan keluarga, sibuk dengan urusan kerja, sibuk dengan urusan rakan-rakan dan banyak lagi. Ia berlarutan dan berlarutan, menyebabkan kita lupa untuk mendongak ke atas. Kita begitu asyik dengan masalah di bawah.
Oleh itu, kadangkala batulah yang dilemparkan kepada kita. Bukan untuk menyakitkan tetapi untuk menyedarkan kita untuk melihat ke atas. Begitu juga dengan cubaan, ujian yang dilemparkan-Nya kepada kita. Tujuannya adalah supaya kita melihat ke atas. Melihat ke  atas supaya kita tidak leka dengan urusan dunia. Melihat ke atas supaya kita sering mengingati-Nya dan melihat ke atas untuk kita memperolehi petunjuk-Nya. Melihat ke atas supaya kita dekat dengan-Nya.
Maka itu, jika kita ditimpa bencana, usah difikirkan adakah Tuhan tidak menyayangi kita. Tetapi ia mungkin perkara disebaliknya. Mungkin kita terlalu sibuk dengan urusan dunia dan maka itulah dilemparkan batu kecil kepada kita untuk kita memandang ke atas dan dekat dengan-Nya.
Yakinlah bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah lagi Penyayang. Lebih-lebih lagi jika hamba-Nya begitu hampir dengan-Nya.

No comments: