BismiLlahirRahmanirRahim~
Hari ini 12 Jun 2014 bersamaan 14 Syaaban 1435 Hijrah, di mana gelincirnya matahari petang ini dan selepas azan maghrib, maka kita memasuki 15 Syaaban 1435 Hijrah yang juga dikenali sebagai Nisfu Syaaban.
Pada malam Nisfu Syaaban di mana buku catatan amalan kita di bawa naik oleh malaikat dan buku catatan amalan baharu diberikan setelah setahun berlalu kita menggunakan buku catatan amalan yang lama. Malam Nisfu Syaaban ini merupakan malam kedua yang barakah selepas Malam Lailatul Qadar.
Seorang sahabat benama Usamah bin Zaid r.a. pernah bertanya Nabi s.a.w., kenapa baginda banyak berpuasa di bulan Syaaban? Nabi s.a.w. menjawab, "Bulan Syaaban itu adalah bulan yang selalu dilupai oleh manusia di mana kedudukannya di tengah antara Rejab dan Ramadhan. Namun ia adalah bulan di mana diangkat amalan-amalan hamba kepada Tuhan Pencipta Alam. Maka aku menyukai amalanku diangkat ketika aku berpuasa." (Riwayat Imam an-Nasai)
Antara amalan yang boleh kita lakukan untuk menghidupkan bulan Syaaban dan Malam Nisfu Syaaban ialah :
1. Setelah selesai solat ba'diyah Maghrib atau Isya', bacalah Surah Yasin 3 kali dengan setiap satunya diniatkan memohon :
- bacaan 1 : Dipanjangkan umur dalam keadaan sihat untuk mentaati Allah.
- bacaan 2 : Ditetapkan iman dan dijauhkan daripada bala bencana.
- bacaan 3 : Diluaskan rezeki yang halal dan diberkati.
2. Perbanyakkan istighfar (astaghfiruLlahal'azim) dan taubat dari segala dosa-dosa besar dan kecil kepada Allah Yang Maha Penerima Taubat dan Yang Maha Pemaaf.
3. Perbanyakkan solat sunat seperti solat sunat (ss) dhuhaa, ss rawatib, ss tahajud, ss tasbih, ss taubat, ss hajat dan ss witir.
**Nabi s.a.w. bersabda : "Lakukanlah amalan setakat yang kamu terdaya. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu semua jemu."**
4. Membaca dan mentadabbur al-Quran.
5. Perbanyakkan sedekah, selawat dan berdoa.
6. Perbanyakkan tasbih (subhanaLlah), tahmid (alhamduliLlah), tahlil (la ilaha illaLlah) dan takbir (AllahuAkbar).
Cara-cara Solat Sunat Nisfu Syaaban. [Klik Sini]
Antara doa yang dibaca pada Malam Nisfu Syaaban :
"Ya Allah,
apabila Engkau mencatat namaku sebagai orang yang celaka, Engkau catat di dalam
buku catatan celaka, maka padamlah dan catatlah dalam buku catatan orang yang
berbahagia dan apabila Engkau mencatatkan namaku sebagai orang yang berbahagia,
di dalam buku catatan bahagia, maka tetapkanlah. Maka sesungguhnya Engkau telah
berfirman di dalam Kitab-Mu yang mulia. Allah menghapus dosa-dosa yang Dia
kehendaki dan menetapkan apa-apa yang Dia kehendaki dan disisi-Nya ada kitab
yang mulia (Kitab Al-Quran) Al-Hadis."
InsyaAllah sama-sama kita beristiqamah melaksanakan amalan-amalan kebajikan di siang hari atau malam hari. Sesungguhnya apabila kita dapat melaksanakan sesuatu amalan dengan penuh keikhlasan dan amalan tersebut bertepatan dengan hukum syara', maka kita akan tergolong dalam golongan umat Islam yang menuju ke arah kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Ayuh perbanyakkan amalan kebajikan di bulan Syaaban sebagai suatu persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak~!!
Buat sahabat pembaca, ampun maaf andai tersilap bicara yang mengguris hati nurani antum semua. Moga Allah berkati kita dalam bulan Syaaban ini dan moga kita sampai ke bulan Ramadhan yang kita nanti-nantikan kehadirannya.
BarakaLlahulakum. Wallahua'lam. Salam Mahabbah <3
No comments:
Post a Comment