BismiLlahirRahmanirRahim~

Sunday, 28 December 2014

Kehilangan ...

BismiLlahirRahmanirRahim~


Terkenang daku pada satu kisah ...

“...
Pak imam termenung di serambi surau. Sejak pak bilal pergi, suasana sedikit suram pada wajah tua pak imam.
Aku duduk di sebelahnya.
"Mam, pertapaan saya di surau ni tinggal tak sampai sebulan lagi dah."

Pak imam hanya diam.
"Tak mengapa. Kau pun boleh pergi. Tinggal aku seorang saja di surau ni. Surau ni pun kosong macam biasa."
Ada nada sendu di situ.
"Mam tak boleh macam ni. Sampai bila nak bermuram?"

Pak imam tunduk tengok lantai.

"Kau akan rasa dunia ini dah tak lama.
Bila kawan yang sebaya atau setara umur dengan kau pergi tinggalkan kau.
Kau akan rasa dunia ini sementara, bila orang yang kau sayangi pergi dulu.
Kau akan rasa dunia ini fana semata, bila orang yang selama di sisi telah tiada."

Aku menghela nafas panjang sama.
"Mam, ilmu hari ni? Ada tak?"

Pak imam diam seketika.
"Ada. Tapi sikit saja. Tak tahulah ilmu atau tidak.
Kehilangan memanglah sesuatu yang menyedihkan. Tapi, yang lebih menyedihkan apabila kamu lebih nampak sesuatu yang hilang itu melebihi Allah yang mentakdirkan ianya pergi dari hidup kamu.
Kehilangan itu biasa. Yang luar biasa adalah apabila dengan kehilangan itu menyebabkan kamu bertambah cinta pada Allah. Bukan terus menerus meratapi kehilangan seseorang atau sesuatu itu.
Seperti Allah turunkan hujan lebat. Sangat lebat. Namun, dalam masa yang sama, Dia hantarkan seseorang hantarkan payung pada kamu. Tapi, kamu tetap enggan. Nak duduk juga basah kuyup dalam hujan. Tak mahu berteduh. Tak mahu berganjak. Biarkan saja diri sakit sendiri.
Salah siapa akhirnya. Bukan Allah.
Tapi diri sendiri yang degil.
Keras kepala."


Aku termenung panjang dengar kata-kata pak imam. Dalam maknanya.

"Mam, jadi pak imam juga kena begitu. Walau apapun terjadi, hati teguh tetaplah berdiri."
Pak imam menitiskan air matanya. Kerana dia jua manusia biasa yang tidak kuat. Aku juga tidak kuat. Kita semua tidak kuat.
Hmm..
Kerana kita masih. 
Tidak sepenuhnya bersandar pada Allah yang menguatkan....”

# Sharing Post daripada Encik Sederhana
...............



***AllahuRabbi. AllahuQawiy. Kuatkan jiwa kami, hamba-Mu yang lemah ini.
Tiada kekuatan kami tanpa rahmat dan kasih sayang-Mu, Ya Rahman, Ya Rahim.

Moga cinta dan taqwa kita kepada Tuhan Semesta Alam semakin meningkat dengan berganjaknya kita ke tahun 2015.
Moga Allah redha. BarakaLlahu’alaina.
BismiLlahi tawakkaltu ‘alaLlah. Salam mahabbah <3

Saturday, 27 December 2014

Pelangi Muncul Setelah Hujan

BismiLlahirRahmanirRahim~

"Mam, saya dapat tahu, anak pak imam dah nak nikah? Betul ke?"
Aku bertanya. Curious dengan rumours yang sampai ke telingaku.
Pak imam mengerutkan kening.
"Iya, benar. Dengan doktor pilihan hatinya. Baguslah, dia misi, suami dia nanti doktor. Kerja tempat sama. Senang."

Aku terkedu sendiri. Pusing belakang. Langkah.
Cari tiang. Cari tiang.
Mana pula tiang surau ni. Tak nampak. Tak nampak.
Apa ni, pandangan blur pula.
Oh tidak. Aku, abang bikai tidak mungkin menitiskan air mata benda remeh-temeh macam ni. Kenot, kenot.

Pak imam meletakkan tangannya di bahuku.
"Redo."

Aku tak nak nampak tacing sangat. Aku pergi ke peti surat surau. Olok-olok baca bil api bulan ni. Dari alamat atas sampai alamat bawah bil aku baca. Tulisan kecil besar kuman pun baca. Tahan sebak sebenarnya. Huhu...

Pak imam bersuara memujuk,
"Kau tahu tak, Allah itu Maha Adil.
Orang yang dilahirkan tanpa tangan, Allah berikan kelebihan pada kedua kakinya.
Orang yang dilahirkan tanpa kaki, Allah berikan kelebihan pada kedua tangannya.
Orang yang dilahirkan tanpa tangan dan kaki, Allah berikan kelebihan pada mulutnya.
Orang yang kehilangan tangan, Allah berikan ganti keistimewaan di anggota badannya yang lain.
Orang yang kehilangan orang ayah ibu yang tersayang, Allah berikan ganti dapat suami atau isteri yang menyayanginya.
Jadi, kalau kau hilang orang yang kau suka, kau yakinlah Allah akan berikan ganti dengan orang yang akan cinta kau sepenuh hati sebagai pasangan sahnya."



Berdesup menusuk dalam hati ini.
Aku tak tunggu lama. Berlari keluar. Ah, tak nampak pula pintu surau. Tingkap pun jadilah.

ZASSS!

Terjun tiruk dari jendela surau terus ke dalam kolah surau. Nangis banyak-banyak dalam kolah surau.
Akhirnya, harapan tinggal harapan. Ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya cendol di tengahari.
Pak imam tidak melibaskan serbannya lagi.
Macam tengah senyum saja pak imam.
Pai ati.
---------

***Deep.. Hhaha.. Pandai Encik Sederhana bersahaja menyampaikan ceritanya, walaupun ada ibrahnya yang tersendiri bagi yang melihat dengan kaca mata hati.

Percayalah. Tiap perkara yang Tuhan takdirkan dalam hidup kita, walaupun pahit, redhalah dan yakinlah bahawa pasti akan ada hikmah yang tersembunyi pada masa akan datang, di dunia mahupun di akhirat sana.

Yakinlah untuk yakin dan serahlah segala urusan kita kepada Dia Yang Maha Kuasa. Selagi mana kita boleh berusaha, usahalah. Selebihnya kita berdoa dan bertawakal pada Yang Maha Mengetahui yang terbaik untuk hamba-Nya.


Allah tidak zalim pada kita, tapi kita yang menzalimi diri kita sendiri. NastaghfiruLlahal’azim.. Muhasabah diri kita agar dapat perbaiki yang mana kurang. Moga Allah bantu.

BarakaLlahu’alaina. Salam kasih sayang. <3

Wednesday, 17 December 2014

Resepi : Makaroni Bakar~

BismiLlahirRahmanirRahim~

Apa khabar sahabat sekalian? 

Ana harap semuanya berada dalam sihat walafiat. InsyaAllah. 

Post kali ni ana nak kongsi satu resepi yang ummi ana dapat daripada kawan di sekolah ummi dan yang paling penting, ana dah cuba resepi ni. 

AlhamduliLlah, menjadi! :)

.............................


Bahan-bahan :
·           300 gram makaroni                                                    - dicelur lembut
·           10 biji telur gred A                                                     - dipukul kembang
·           2 sudu besar rempah kari / kurma
·           2 ulas bawang merah                                                  -dipotong dadu
·           1 labu bawang Holland / besar                                    -dipotong dadu
·           Ayam                                                                        - direbus dan disiat halus
(tuna / sosej / daging cincang pun boleh digunakan)
·           Sedikit garam & gula
·           Sedikit lada hitam
·           Sedikit minyak untuk menumis
·           Hiasan – tomato & lada benggala  -dipotong dadu

Cara-cara :
1.         Tumis bawang dan rempah kari sehingga naik bau.
2.         Masukkan garam dan gula.
3.         Gaulkan makaroni, lada hitam dan ayam ke dalam bahan tumis tadi.
4.         Sapukan loyang dengan minyak, bubuh bahan gaul tadi dan tuangkan telur.
5.         Letakkan bahan hiasan.
6.         Bakar selama 40 minit dalam suhu 180áµ’C.


Sos :
-                 Sos cili + air + garam + gula (masak sehingga mendidih)


**Makan makaroni bersama sos laaagii sedap**


Sedia untuk dimakan <3 Selamat Mencuba~!!

Friday, 14 November 2014

Rindu : Luah vs Pendam

BismiLlahirRahmanirRahim~

Jam pukul 11.30 malam.
Aku keseorangan seperti biasa di surau. Tempoh pertapaanku di surau masih berbaki 20 hari hingga hujung bulan.
Aku keluarkan fon aku.
Teringat cikgu tadika sebelah rumah. Perlukah aku mesej dia?
Perlukah? Perlu ke tak perlu? Nak ke tak nak?
Tap tap tap.
Jari menaip di skrin fon.

"Rindu."
Tangan gigil sikit. Nak send ke tak nak ni?
Pejam mata, tekan send laju-laju.
5 minit.
10 minit.
Tiada balasan.

15 minit. Ding! Bunyi mesej direply. Aku segera buka mata. Buka sebelah mata. Tangan buka inbox.
"Assalamulaikum. Peliknya. Tak pernah-pernah kamu hantar mesej dekat mak cakap rindu?"
Hah? Mak?
Aku tengok balik fon. Aduh, terhantar dekat mak pulak. Masuk mesej lagi. Dari mak.
"Mak selalu rindu anak-anak mak. Termasuk kamu. Jangan lupa makan, jangan lupa solat."

Bungkam sendiri. Sebak. Aku bukan orang yang selalu hubungi mak ayah ucapkan rindu dan sayang. Ingatkan kalau hantar dekat mak ayah, mereka takkan reply.
Sobs. Tacim. Ego seorang lelaki punah malam ini. Masa mak ada, tak pula nak ucap sayang dan rindu. Bila dah tak ada, barulah tercari-cari, merindu-rindu.

Pak imam ada kata,
"Nabi s.a.w. tak berkesempatan ucapkan rindu dan sayang pada ibu dan ayahnya. Lalu, dilantunkan rindu itu melalui doa.
Tapi, kita. Doa untuk pasangan lebih besar dari doa untuk ibu bapa. Astaghfirullah.
Sedangkan doa ibu bapa untuk kita berpanjangan hatta setelah mereka dah tiada. Sabda Nabi s.a.w.:
“Sesungguhnya amal kamu dibentangkan kepada keluarga dan kaum kerabat kamu yang telah mati; maka jika amal perbuatan kamu itu baik, mereka gembira mengetahuinya, dan jika sebaliknya, mereka (berdoa untuk kamu dengan) berkata: “Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kaum kerabat kami yang hidup itu hidayah petunjuk, seperti mana Engkau sudah memberi hidayah petunjuk kepada kami (sehingga kami mati dalam iman).” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi)."

Terngiang-ngiang kata-kata pak imam.
Lepas pak imam berkata tu, pak bilal pula pergi azan masuk waktu. Terpelanting habis syaiton di telingaku masa tu.
Oklah. Tak jadi mesej cikgu tadika.
Mungkin lebih baik begitu.
Pendam.
 Kongsi Cerita Encik Sederhana :)
---------------------

Pendam,
Biarlah ku tetap memendam,
Biar jua menjadi resam,
Kala tunasnya mula berputik,
Kucantas rasa dari subur meracun,
Bunga taqwa yang semusim kunanti kembangnya,
Usah layu...

Diam,
Dan tetap ku berdiam,
Kerana tidak semuanya bias dilafazkan,
Adakalanya bahasa tubuh lebih telus,
Dari bicara kata yang terluahkan...



Ummi abah..Akak rindu..Fii hifziLlah..Wallahua’lam..Salam Mahabbah <3

Saturday, 8 November 2014

Ilmu Bismillah~

BismiLlahirRahmanirRahim~


Hujan lebat. Dah tengah malam. Aku melihat kipas siling surau yang berpusing. Seperti biasa, aku keseorangan. Tadi, pak imam dan pak bilal mengajarkan aku satu ilmu.

Ilmu Bismillah.

"Kenapa dimulakan dengan huruf " ba' " yang dipanggil "harf jar" dalam grammar bahasa arab pada bismillah?"

Pak imam mula menjelaskan.
" Ba' seabjad, yang bermaksud ' dengan ' tidak Allah ciptakan untuk sia-sia. Seketul Ba' dirangkaikan dengan Ismullah, menjadilah Bismillah yang bermaksud ' dengan nama Allah '.
Kita bertemu dengan bismillah dulu sebelum Al-Fatihah.

Kenapa 'dengan'? Kenapa bukan penyambung perkataan yang lain? 'Bahawasanya' ke 'sesungguhnya' ke 'justeru' ke 'pada' ke?

Kerana Allah mahu kita mulakan segalanya yang kita buat DENGAN mengingati diri-Nya. Yes, segala-galanya!
Tak ingat doa makan, doa tidur pun tak mengapa. Bacalah Bismillah. Ingatlah pada Allah dulu."

Aku mencelah,
"Dalam hati, boleh tak kalau nak cinta ramai termasuklah Allah?"

Pak bilal jawabkan,
"Kita tak tahu hati tu ada berapa lapisan sebenarnya. Kita tak nampak hati kita sendiri. Tapi, kita boleh merasai.

Letaklah Allah di sudut yang terdalam sekali, diikuti Nabi s.a.w., para sahabat, tabi'in, ulama, ibu bapa, dan akhir sekali barulah orang yang kita sayang di lapisan yang paling tipis.
Tapi, kita ni terbalik. Kita letakkan orang yang paling kita sayang dan cinta di sudut hati yang paling dalam.

Kita letak isteri kita, awek kita, tunang kita dalam kerak hati. Padahal sudut yang terdalam itu umpama bahagian akar hati. Andai akarnya bukan Allah, bila kita kehilangan orang itu, seluruh jiwa kita akan hancur berkecai dan perlukan masa untuk binanya semula. Tapi, jika akarnya adalah Allah, hilang atau mati seseorang yang kita sayang sekalipun, iman tiada terjejas. Air mata maybe mengalir, tapi kau tetap teguh berdiri."


Pak imam mencelah,
"Itulah ertinya Bismillah. Mulakan dengan ingati Allah, letakkan Allah di dasar hati paling dalam."

Aku letakkan tanganku ke dada.

Cuba rasa hati sendiri.

"Siapa yang berada dalam lubuk hatiku yang paling dalam sekarang? Allah atau insan?"
Andai insanlah jawabnya, ternyata aku tergolong dalam orang-orang yang tersungkur tewas.

Sedih.

Pejam mata. Air mata mengalir.


Sharing post from : |EncikSederhana|

---------

Cek hati masing-masing.. AllahuRabbi.. NastaghfiruLlah..
Wallahua'lam <3


Wednesday, 29 October 2014

TAZKIRAH : Anak adalah pencen kubur mak ayah


BismiLlahirRahmanirRahim~


Ana tertarik dengan satu post facebook sahabat ana, Alfarasyah Solehah tentang mak dan ayah. Tanpa kedua-dua mereka, tiadalah kita. Bersyukur pada rahmat Ilahi dengan kurniaan yang tiada tolak bandingnya dengan menganugerahi kita ibunda dan ayahanda yang hebat kepada kita. AlhamduliLlah~!! Hargai mereka selagi mereka masih bernafas di muka bumi ini. Salam, peluk, cium, kasihi dan sayangi mereka seperti mana mereka menyayangi kita sejak kecil..


....

"Ada dekat mana tu abah? Nak ucap salam ma'al hijrah."
"Ni haa. Dekat kedai sabasun. Cari barang sikit ni. Tu lah. Banyak-banyak doa. Sini pun tengah hujan."

"Cantik. Petang jumaat, hujan, berkat doa abah lagi. Doakan kami nak exam. Hehe."
"Elya, mak ayah ni selalu doa dekat anak-anak. Anak-anak je yang ingat ke tak mi dengan abah dalam doa."

"InsyaAllah abah, ingat insyaAllah."
"Baru lagi hari tu abah tanya ustaz dekat kelas ngaji,
'Ustaz, sampai tak kalau saya baca alQuran niat nak sedekah dekat arwah ayah saya.'

Ustaz jawab,
'Tak perlu niat pun. Sebab setiap amal kita, ngaji kitab ke, ngaji alQuran ke, semua direct sampai pada mak ayah dekat sana. Hadis ada sebut tiga amal yang tak putus walaupun kita dah meninggal dan salah satunya anak soleh.'


Ingat elya, ingat untuk doakan mi abah nanti. Buat amal soleh. Tu je pencen kubur mi abah. Jadi anak solehah. Saling ingatkan adik beradik tu."


"Abah..."
"Tazkirah awal Muharram sikit. Ok, jaga diri tu......."

Elya matikan talian.
Segaris senyum terukir sambil jari telunjuknya menyeka air mata yang hampir jatuh ke pipi.

Pencen kubur mak ayah itu kita,
Kita.

Ya, kita lah amal bonda dan ayahanda apabila mata bundar mereka nanti terpejam rapat.

:')

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (HR Muslim).


Semoga kita menjadi dan bakal dikurniakan pula saham-saham yang mengalir. Moga-moga. InsyaAllah.

---

Pesan 'syeikhah kabeerah',
Jangan tinggal alQuran, walaupun sibuk. InsyaAllah ada keberkatan. :)

Antara hadiah untuk bonda dan ayahanda, mohon doanya untuk dipermudah. Saling mendoakan, sentiasa. InsyaAllah.


...

Ummi Abah, akak rinduuu~
BarakaLlahulakum fiddunya wal akhirah..
Wallahua’lam. Salam kasih sayang <3


Monday, 27 October 2014

Hari Keluarga Indera Bentara~

BismiLlahirRahmanirRahim..
Throwback kenangan yang terpahat di ingatan...
(Sumber daripada Blog Indera Bentara)

----------------

Assalamualaikum dan Salam Segayong~

> Jemput Ziarah Indera Bentara <
(,") Terima kasih daun keladi (",)

Gayong bercantum bersatu padu,
Mengingat junjungan empunya seru;
Sama sendiri bantu membantu,
Selamat sejahtera hajat dituju.


AlhamduliLlah, Hari Keluarga Indera Bentara berjaya dilaksanakan pada hujung minggu baru-baru ini. Hampir kesemua anak Gayong Indera Bentara terlibat dengan program kali ini kecuali beberapa orang yang tidak dapat turut sama hadir atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan. Perjalanan program ini bermula dengan ekspedisi pendakian Bukit Broga yang terletak di Semenyih. Kami bertolak dari Institut Bahasa seawal jam 5 pagi dan menunaikan solat Subuh di yang berhampiran.

Ekspedisi kami pada kali ini adalah menggabungkan Gelanggang Indera Bentara dengan Gelanggang Tun Razak yang berada di bawah pimpinan Cikgu Azrul Affandi Sobry. Kami memulakan pendakian kami pada jam 6.30 pagi dengan diterangi oleh cahaya lampu suluh. Setelah dua puncak kami berjaya kami tawan, kami sempat merakam memori bergambar sambil menghayati keindahan ciptaan Tuhan Yang Maha Esa. 



Selain itu juga, shooting video tari teratai (Klip Video) yang dibuat oleh Muhammad Nawawi di atas bukit dirakam oleh Cikgu Azrul sebagai panduan kepada anak-anak Gayong Pusaka Malaysia memandangkan ia satu silibus yang baharu. Beberapa demo turut dipersembahkan oleh anak Gayong Tun Razak dan aksi anak Gayong Gelanggang Indera Bentara. Di samping itu, pembelajaran sebahagian gerakan tari teratai turut diadakan di Bukit Broga dengan pembahagian kepada beberapa kumpulan. Aktiviti kami ini mendapat tumpuan orang ramai yang berada di atas bukit dan kami nampak muka kekaguman mereka serta ada juga yang berkata dengan muka teruja, “Ohh..Silat ni..” Hhehe..

Aksi Tempur.

 Pembelajaran Seni Tari Teratai.

Ramai yang menyaksikan kami bersilat.
Kabus pada waktu pagi.

Pada jam 9 pagi, kami semua mula menuruni bukit sambil menghirup kabus pagi dan angin bayu yang sangat lembut menampar pipi kami. Semoga ekspedisi Bukit Broga ini dapat menjalinkan ukhuwah antara Gelanggang Tun Razak dan Gelanggang Indera Bentara serta pelbagai aktiviti bersama dapat dirancang selepas ini. InsyaAllah. Setelah ahli Gelanggang Tun Razak kembali ke Universiti mereka, kami Keluarga Indera Bentara menjamu selera makan pagi kami di restoran Kajang dan kemudian kami berehat di rumah Cikgu Azrul.

Program Hari Keluarga Indera Bentara diteruskan dengan perjalanan kami ke Pantai Bagan Lalang, Sepang pada jam 4.30 petang. Pada malam tersebut kami menginap di Seri Bayu Resort Hotel, Sepang Gold Coast yang berhampiran dengan pantai. Aktiviti kami pada malam tersebut ialah ber’BBQ’!! Sedappp... Ada ayam, sotong, ikan, sate daging dan bebola daging. Terima kasih pada yang memerap, membakar dan makan semua BBQ ni. Hhehe..

 Semua ceria nak ber'BBQ'.

 Tempat membakar ayam.

 Cecile bersama gitarnya.

Cikgu Azrul dan Cikgu Syazriha.

Aktiviti pada malam tersebut diakhiri dengan satu muhasabah diri yang dikendalikan oleh Cikgu Azrul supaya setiap ahli keluarga Indera Bentara menghisab diri tentang SILAT dan UKHUWAH sesama ahli keluarga. Semoga segala pesanan dan nasihat cikgu akan kita sematkan dalam diri dan jiwa kita. InsyaAllah..

Keesokan harinya, Ahad 11 Mei 2014, kami berjalan kaki menuju Pantai Bagan Lalang dan memulakan aktiviti kami di sana. Aktiviti pertama ialah memanaskan badan dan regangan yang dilakukan secara berpasangan. Ia penting untuk membina kecergasan, keseimbangan dan keserasian antara pasangan. Aktiviti kedua pula ialah kami dikehendaki berlari dari pasir pantai sehingga ke tengah laut (air laut jauh ke tengah pada masa ini kerana air masih belum ‘pasang’). Sebaik sahaja kami sampai di sana, kelihatan deretan ketam yang berjalan-jalan menuju air dan pabila kami menghampiri mereka, cepat-cepat mereka masuk ke dalam pasir pantai.

 Berjalan menuju pantai.

 Regangan.

 Pakat tolak kuat-kuat.

 Berlari ke tengah pantai.

Ketam-ketam.
Misi menangkap ketam.

SubhanaLlah. Kami belajar daripada alam anugerah Tuhan yang sungguh mengkagumkan melihat kehidupan laut dan permandangan laut yang indah nian. Aktiviti ketiga pula, kami dikehendaki menangkap ketam dan terdapat juga yang takut-takut nak memegang ketam. Tapi demi melawan perasaan kurang berani tu, akhirnya semua orang berjaya menyelesaikan cabaran ini. Aktiviti keempat pula ialah kami berlatih gerakan asas silat di tengah-tengah Pantai Bagan Lalang. Gerakan asas tumbuk, tangkis, pancung dan juga 20 gerakan anak harimau.

Gayong Sedia~!!

Tumbuk-Pancung.

Gerakan Anak Harimau.

Seterusnya kami diberi masa 3 minit untuk membuat seni tari silat secara berseorangan dengan masing-masing mencari tempat tersendiri untuk membuat tari. Sambil ditemani keindahan alam, kami cuba menghayati setiap gerak seni tari dan mencari roh seni agar gerakan yang dibuat datang daripada jiwa. Aktiviti kami diteruskan lagi dengan permainan ‘Gunting, Batu, Kertas’. (Klip Video). Kami bermain menggunakan tangan dan juga kaki. Peraturan permainan ini memerlukan kami mengumpul kemenangan sebanyak 4 kali dan jika kami kalah dalam perlawanan, mata yang kami perolehi perlu ditolak. Sungguh!! Ia betul-betul mencabar kami kerana kami perlu bekerja keras untuk mengumpul 4 kemenangan. Permainan ini menjadikan kami bersungguh-sungguh untuk mencari ahli yang sama mata dengan kami dan pemenang pertama permainan ini disponsor oleh Cikgu Azrul untuk menaiki ‘paragliding’. Tahniah diucapkan kepada Mujahidah~!!


 Seni tari silat.

 Main 'Gunting, Batu, Kertas'.

 Semua bersemangat mengutip mata kemenangan. 

 Final permainan OSOM.

Pemenang menaiki Paragliding~!!

Pendekar Indera Bentara.

Kami, Adik-Beradik Indera Bentara :)

Kemudian, kami berhalaqah membuat sesi ‘round table’ tentang input dan berkongsi perasaan tentang program Hari Keluarga Indera Bentara pada kali ini. Aktiviti terakhir kami ialah membina istana pasir dan kami dibahagikan kepada 4 kumpulan. Masa yang diperuntukkan selama 10 minit dan Cikgu Azrul serta Cikgu Syazriha menjadi juri hakim pertandingan dengan menilai seni istana dan juga penerangan yang diberikan. Kumpulan Istana Pasir Penyu telah memenangi tempat pertama, Kumpulan Istana Pasir ‘Octopus Island’ tempat kedua, tempat ketiga jatuh kepada Kumpulan Istana Pasir Ikan Sembilang dan Kumpulan Istana Pasir Kasanova tempat keempat. Kreatif semua adik-beradik Indera Bentara ni ya..


Sesi 'round table'.

 Cikgu Azrul~

 Berhalaqah sambil bermain pasir pantai :) 

Istana Pasir 'Octopus Island'.

 Istana Pasir Kasanova.

 Istana Pasir Ikan Sembilang.

Istana Pasir Penyu.

 Satu keluarga yang hebat dan bahagia.

Kanak-kanak ribena mandi kolam hotel.

Kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang dan kami singgah menjamu selera di Nilai. AlhamduliLlah, kami makan hingga menjilap jari kesedapan masakan di situ, ditambah pula dengan kek Red Velvet sebagai pencuci mulut. Seterusnya, perjalanan kami diteruskan ke rumah Cikgu Azrul di Kajang dan kami bersalam-salaman dengan Cikgu Azrul, Cikgu Syazriha, Haikal, Puteri dan Putera. Pabila jam menunjukkan pukul 5.15 petang, kami adik-beradik Gayong Indera Bentara sampai di Institut Bahasa. 


Menjamu selera di Nilai.

Akhir sekali, pada malam tersebut, satu jamuan diadakan di Gelanggang Bentara Setia (IPBA) sempena Penyampaian Sijil Kursus Pemantapan Silibus Gayong di Gurun pada akhir tahun lepas. Terima kasih semua~!!




**Segala kesyukuran dipanjatkan kepada Yang Maha Penyayang kerana dengan izin-Nya, dapat kami melaksanakan Hari Keluarga Indera Bentara untuk kali pertama untuk sesi tahun 2014. Terima kasih kepada Cikgu Azrul yang banyak berkorban masa, tenaga dan juga material dan juga kepada semua adik-beradik Indera Bentara yang sama-sama bersusah senang dalam menjayakan program kita pada kali ini. Semoga segala input yang kita perolehi sama ada secara langsung atau tidak langsung akan dapat kita selami dengan mata hati serta akan kita aplikasikan dalam diri kita. 

**Moga ukhuwah yang kita bina ini akan semakin kuat, utuh dan teguh dalam meladeni bahtera kehidupan. Walaupun perit getir dan masam manis kehidupan yang kita lalui, biarlah ikatan SILATurahim ini harum mewangi hingga ke Syurga-Nya. InsyaAllah... Selamat maju jaya diucapkan pada semua yang akan menghadapi peperiksaan akhir semester pada minggu hadapan. Buat yang TERBAIK ya adik-beradik Indera Bentara sekalian.

Hujan panas turun berderai,
Guruh menyambar pohon jati;
Kasih sayang tak boleh bercerai,
Bagaikan rambut  bersimpul mati.

Lebih aksi dan memori yang terakam di dalam entri berikut :

Wallahua’lam. Salam Kasih Sayang Silaturrahim~